Edited by sfhzuraz at 15-12-2024 12:59 PM
Penggubalan 'Good Samaritan Law' tepat, sesuai dan relevan dengan situasi semasa
Audrey Dermawan - Disember 15, 2024 @ 11:15am
Naib Presiden FOMCA, Datuk Indrani Thuraisingham. Foto fail NSTP.
GEORGE TOWN: Cadangan mewujudkan Rang Undang-Undang (RUU) berkonsepkan 'Good Samaritan Law' bagi melindungi individu yang bertindak memberikan bantuan kecemasan satu usaha intervensi yang tepat dan kena pada masanya.
Naib Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk Indrani Thuraisingham berkata, ini kerana peranan penyelamat amat penting ketika kecemasan.
Katanya, usaha itu juga relevan berikutan jumlah penduduk yang mengalami Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) semakin bertambah termasuk kes kardiovaskular, serta penyakit akibat banjir yang menjejaskan komuniti rentan akibat perubahan iklim.
Namun, beliau menggesa supaya undang-undang yang dicadangkan ini diperluaskan untuk merangkumi bantuan makanan kepada golongan miskin dan gelandangan dengan menangani kebimbangan undang-undang yang sering menghalang individu, organisasi atau perniagaan daripada menderma makanan.
"Undang-undang ini perlu secara jelas menyatakan bahawa individu, badan bukan keuntungan, dan perniagaan (seperti restoran, kedai runcit, dan katerer) yang menderma makanan dengan niat baik tidak akan dipertanggungjawabkan atas sebarang kemudaratan yang disebabkan oleh makanan yang didermakan, selagi makanan itu selamat ketika diberikan.
"Undang-undang juga perlu menyatakan bahawa tiada kecuaian besar, salah laku disengajakan, atau sikap sambil lewa terhadap keselamatan makanan," katanya.
Beliau mengulas rancangan KKM menggubal Rang Undang-Undang (RUU) berkonsepkan 'Good Samaritan Law' bagi melindungi individu yang bertindak memberikan bantuan kecemasan seperti resusitasi kardiopulmonari (CPR) dalam situasi jantung terhenti mengejut atau sudden cardiac arrest (SCA).
Semalam, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dilaporkan berkata, akta itu bertujuan menyediakan perlindungan undang-undang kepada mereka yang bertindak menghulurkan bantuan atas dasar kepercayaan baik dalam usaha menyelamatkan nyawa orang awam.
Indrani turut mencadangkan supaya definisi akta itu diperluaskan dengan memasukkan bantuan makanan sebagai satu bentuk belas kasihan yang diiktiraf di bawah undang-undang, seiring dengan bantuan kecemasan tradisional.
"Undang-undang ini juga perlu menangani kebimbangan berkaitan kualiti dan tarikh luput makanan untuk memastikan makanan yang diderma masih selamat untuk dimakan, selain penetapan garis panduan yang jelas dari aspek keselamatan.
"Sediakan standard untuk pengendalian, pembungkusan dan pengedaran makanan bagi memastikan keselamatan dan kualiti terjamin.
"Ia juga perlu melindungi pihak perantara (bank makanan, institusi keagamaan dan NGO) yang menerima dan mengagihkan semula makanan daripada tanggungjawab undang-undang sekiranya mereka bertindak secara bertanggungjawab dan mengikut standard undang-undang," tambahnya.
Indrani turut mencadangkan supaya RUU itu memasukkan peruntukan pengecualian faedah cukai atau subsidi kepada perniagaan dan individu yang aktif menderma makanan untuk membantu golongan memerlukan serta sokongan untuk penyimpanan, pengangkutan dan pengagihan agar bantuan makanan dapat dilaksanakan.
Katanya, penderma, juga perlu dididik mengenai hak mereka di bawah undang-undang bagi membina keyakinan dalam menyertai inisiatif pendermaan makanan.
"Sediakan rangka kerja yang jelas mengenai bagaimana orang ramai boleh menderma atau mengagihkan makanan dengan selamat tanpa kebimbangan terhadap akibat undang-undang.
"Masukkan kawalan untuk mencegah penyalahgunaan undang-undang, memastikan program pendermaan makanan kekal fokus kepada bantuan yang tulen dan bukan bermotifkan keuntungan.
"Sebagai contoh di India, Undang-Undang Pendermaan Makanan Good Samaritan mengikuti model Akta Pendermaan Makanan Good Samaritan Bill Emerson di Amerika Syarikat yang turut melindungi penderma.
"Di Malaysia, rangka kerja serupa boleh diintegrasikan ke dalam dasar kebajikan sosial untuk meningkatkan usaha bantuan kelaparan yang digerakkan oleh komuniti.
"Dengan melaksanakan langkah-langkah ini, undang-undang Good Samaritan boleh mewujudkan persekitaran yang menggalakkan dalam menangani masalah kekurangan makanan dan penyertaan lebih kolektif membantu golongan miskin," katanya.
Sementara itu, Presiden Majlis Peguam Malaysia, Mohamad Ezri Abdul Wahab, berkata rundingan yang telus dan menyeluruh amat penting untuk meningkatkan kesedaran dan menggalakkan perbincangan yang bermaklumat sebelum Akta Good Samaritan digubal.
Katanya, semua maklum balas perlu diteliti dengan mendalam untuk memastikan inklusiviti dan keadilan.
"Keberkesanan proses perundingan bergantung kepada masa draf itu dikeluarkan.
"Jika draf dikeluarkan pada saat akhir, proses itu akan terjejas kerana maklum balas yang bermakna dan membina tidak dapat dikumpul dengan secukupnya," katanya.
Mohamad Ezri berkata, undang-undang yang baik ditentukan oleh perincian kandungannya.
"Tajuk yang menarik semata-mata tidak mencukupi. Objektif undang-undang itu mesti mendukung dan selaras dengan prinsip hak asasi manusia," katanya
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/12/1337163/penggubalan-good-samaritan-law-tepat-sesuai-dan-relevan-dengan
|