Georgetown: Tiga lelaki direman selama empat hari oleh Mahkamah Majistret hari ini, bagi membantu siasatan kecurian gelang emas milik seorang lelaki dalam kejadian di sebuah servis apartmen di Tanjung Bungah di sini.
Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Siti Nurul Suhaila Baharin terhadap tiga suspek tempatan berusia lingkungan 25 hingga 37 tahun.
Ia bagi membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
Difahamkan, mangsa berusia 39 tahun itu berkenalan dengan seorang daripada suspek menerusi sebuah aplikasi sebelum bertemu dengannya pada Mac lalu di servis apartmen berkenaan.
Bagaimanapun, dalam pertemuan itu gelang emas mangsa dilarikan dua rakan suspek yang ketika itu datang ke bilik berkenaan.
Suspek dikatakan meminta wang sebanyak RM10,000 sekiranya mahu mangsa semula gelang berkenaan.
Mangsa kemudian membuat laporan kerana tidak berpuas hati dengan permintaan itu sebelum tangkapan dibuat ke atas mereka menerusi beberapa serbuan di sekitar daerah Timur Laut.
Difahamkan, ketiga-tiga suspek sebelum ini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan peras ugut lelaki dengan merakamkan video tidak senonoh.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek.