Edited by sfhzuraz at 13-12-2024 12:32 AM
MAIK salur sumbangan kewangan kepada masjid, surau terjejas banjir
NURUL HIDAYAH HAMID
12 Disember 2024 07:57pm
Tengku Sarafudin (duduk,tengah) berkenan menyempurnakan Majlis Penyampaian Bantuan Bencana Banjir kepada Masjid dan Surau di Kedah di Masjid Lutfi Kampung Suka Menanti pada Khamis.
ALOR SETAR - Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK) menyalurkan sumbangan kewangan sebanyak RM249,000 kepada masjid dan surau yang terjejas akibat banjir di Kedah.
Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin berkata, sumbangan kewangan kepada masjid dan surau terbabit adalah daripada Tabung Bencana Alam MAIK.
Baginda yang juga Yang Dipertua MAIK berkata, sebanyak 11 masjid dan enam surau telah dikenal pasti terjejas akibat bencana banjir melanda daerah Kota Setar, Pokok Sena, Kubang Pasu, Padang Terap dan Sik itu.
"Difahamkan, antara kerosakan dialami masjid dan surau akibat bencana banjir termasuklah karpet,mimbar,peralatan elektrik dan sebagainya.
"Pihak MAIK berharap agar bantuan yang disalurkan ini dapat membantu meringankan beban pihak masjid dan surau yang terjejas akibat bencana banjir,"kata baginda.
Tengku Sarafudin berkata sedemikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Bantuan Bencana Banjir kepada Masjid dan Surau di Kedah di Masjid Lutfi Kampung Suka Menanti, di sini, pada Khamis.
Sebelum itu, baginda berkenan menyerahkan replika cek sumbangan kewangan terbabit kepada masjid dan surau yang terjejas akibat bencana banjir di Kedah.
Baginda turut berharap bantuan berkenaan membolehkan masjid dan surau dapat meneruskan aktiviti seperti biasa.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Masjid Alor Ganu Titi Gajah, Roslan Hashim berkata, pihak masjid amat bersyukur atas sumbangan kewangan sebanyak RM30,000 yang diberikan MAIK.
]
Roslan, Misbahuddin
Beliau berkata, peralatan masjid terbabit terutamanya karpet mengalami kerosakan selepas dilanda banjir pada September dan November lepas.
Sehubungan itu, Roslan memaklumkan, pihaknya berterima kasih atas bantuan dan keprihatinan MAIK melalui sumbangan kewangan tersebut.
Alhamdulillah, sumbangan diberikan akan digunakan untuk menggantikan semula peralatan masjid yang rosak,sekaligus memberi keselesaan kepada anak kariah,"katanya.
Sementara itu, Pengerusi Surau Ihya'ulumuddin Kampung Semeliang, Misbahuddin Yussof pula bersyukur apabila surau itu turut menerima sumbangan kewangan sebanyak RM10,000.
Beliau berkata, air naik sehingga paras 1.8 meter (m) ketika banjir melanda daerah Padang Terap hingga menyebabkan kerosakan peralatan dalam surau kampung berkenaan.
Menurutnya, pihaknya terharu dan berterima kasih atas sumbangan kewangan MAIK,yang mana ia sedikit sebanyak membantu meringankan beban surau itu.
https://www.sinarharian.com.my/article/701953/edisi/utara/maik-salur-sumbangan-kewangan-kepada-masjid-surau-terjejas-banjir
|