Alor Setar: Lapan daerah di negeri ini dijangka mengalami hujan berterusan tahap waspada sehingga esok, kata Pengarah Pejabat Meteorologi Kedah, Muhammad Khalil Abd Aziz.
Menurutnya, ia membabitkan beberapa daerah termasuk Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Pendang, Sik dan Baling.
Beliau berkata, amaran dikeluarkan berdasarkan analisis model cuaca terkini yang menunjukkan sistem cuaca bertekanan rendah terbentuk di Laut China Selatan yang bergerak merentasi sempadan Malaysia-Thailand pada hari ini dan esok.
"Ribut petir dijangka berlaku di kebanyakan tempat di kawasan pedalaman hari ini, manakala pada sebelah malam pula hujan akan melanda di beberapa tempat.
"Untuk esok, hujan dijangka berlaku di beberapa tempat di kawasan pedalaman manakala sebelah petang pula dijangka berlaku ribut petir di kawasan pedalaman.
"Pada sebelah malam (esok) pula, tiada hujan diramalkan berlaku di negeri ini," katanya ketika dihubungi.