Langkawi: Bapa dihukum penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini selepas mengaku bersalah kerana mendera anak perempuannya berusia 16 tahun, Jun lalu.
Hakim Allan Suman Pillai menjatuhkan hukuman itu ke atas tertuduh, Vladimir Covalenco, 55, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mahkamah turut mengarahkan lelaki itu berkelakuan baik selama dua tahun dan menjalani program khidmat masyarakat selama 39 jam dalam tempoh enam bulan selepas bebas dari penjara.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa sebagai bapa kepada remaja perempuan itu menganiayai atau mendedahkannya dengan cara mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal dan emosi.
Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah unit apartmen di Mukim Kuah, di sini, pada 8 pagi, 30 Jun lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Farhan Aliff Ahmad, manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Hakim Hamran.
Mengikut fakta kes, tertuduh memarahi mangsa sebelum menarik rambut, mencekik leher dan menghempuk kepalanya ke almari dalam bilik disebabkan tidak pergi ke sekolah.
Berikutan itu, mangsa membuat laporan polis sebelum tertuduh ditahan di rumahnya dua hari selepas kejadian.