Edited by sfhzuraz at 11-12-2024 01:32 PM
Terjun dari MPV masih bergerak tinggalkan dadah RM3.52 juta
NURUL HIDAYAH HAMID
11 Disember 2024 12:34pm
Nor Izah (dua dari kanan) memeriksa beberapa bungkusan berlabel teh cina yang di dalamnya dipercayai mengandungi dadah jenis methamphetamine pada sidang media di Pejabat Penguatkuasaan JKDM Bukit Kayu Hitam pada Rabu.
BUKIT KAYU HITAM - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri Kedah berjaya menumpaskan aktiviti sindiket penyeludupan dadah berbahaya jenis methamphetamine bernilai RM3.52 juta pada 4 Disember lalu.
Pengarah Kastam Kedah, Nor Izah Abdul Latif berkata, bertindak atas maklumat risikan, sepasukan pegawai JKDM Cawangan Penguatkuasaan Bukit Kayu Hitam bersama pasukan elit Customs Operational Battle Force Response Assault (COBRA) mengesan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang mencurigakan kira-kira jam 8.30 pagi pada Rabu lepas.
Beliau memaklumkan, kenderaan terbabit didapati bergerak laju dari Taman Bandar Sejahtera menghala ke Jalan Kampung Tok Kun, Pokok Sena.
"Menyedari kenderaan dikesan, Orang Yang Disyaki (OYDS) bertindak terjun dari kenderaan masih bergerak dan cuba untuk melarikan diri ke dalam kebun getah berhampiran.
"Bagaimanapun, tindakan terbabit gagal apabila pasukan penguatkuasa berjaya menahannya," katanya ketika sidang media di Pejabat Penguatkuasaan JKDM Bukit Kayu Hitam, di sini, pada Rabu.
Beliau memberitahu, empat guni besar pelbagai warna tersorok di bahagian belakang kenderaan dan beberapa bungkusan berlabel teh cina yang dalamnya dipercayai mengandungi dadah jenis methamphetamine ditemui melalui pemeriksaan rapi ke atas MPV itu.
Nor Izah memaklumkan, anggaran berat dadah terbabit adalah 110 kilogram (kg) dengan nilai rampasan adalah berjumlah RM3.52 juta.
"Sehubungan itu, suspek, kenderaan, dan eksibit dibawa ke Pejabat Penguatkuasaan JKDM Bukit Kayu Hitam untuk siasatan lanjut," katanya.
Menurut beliau, siasatan mendapati kenderaan mewah digunakan untuk mengangkut dadah bagi mengaburi mata pihak berkuasa dan tiada sebarang pengenalan atau dokumen pengenalan dijumpai bersama OYDS.
Tambahnya, dadah jenis methamphetamine terbabit diangkut dari Utara tanah air ke Lembah Klang dan dipercayai untuk pasaran gelap sekitar Lembah Klang.
Sehubungan itu, Nor Izah memaklumkan, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
https://www.sinarharian.com.my/article/701652/berita/semasa/terjun-dari-mpv-masih-bergerak-tinggalkan-dadah-rm352-juta
|