CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 18586|Reply: 0

[Sarawak] Tiong gesa mesyuarat khas mengenai isu keselamatan di SIP

[Copy link]
Post time 19-11-2024 11:50 AM | Show all posts |Read mode


BINTULU: Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing (gambar) menggesa agar satu mesyuarat khas diadakan dalam masa terdekat bagi membincangkan isu keselamatan mengenai insiden kebakaran dan letupan yang berlaku di kilang perindustrian di Samalaju.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bintulu berkata, Pejabat Residen Bintulu harus mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan mengenai keselamatan awam sekali gus mengurangkan risiko berlakunya insiden serupa pada masa akan datang.

"Komuniti setempat semakin bimbang dan mula mempersoalkan mekanisme keselamatan, pencegahan krisis serta langkah tindak balas yang harus diambil oleh kilang-kilang besar yang beroperasi di Taman Perindustrian Samalaju (SIP) kerana ia membabitkan keselamatan awam secara keseluruhannya," ujarnya.

Tiong berkata demikian dalam kenyataan yang dikeluarkannya hari ini berhubung insiden kebakaran dan letupan yang melibatkan sebuah kilang perindustrian di SIP semalam.

Menurutnya, walaupun tidak mendatangkan kecederaan atau kemalangan jiwa namun insiden tersebut mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat awam.

"Justeru, bagi memastikan keselamatan awam dan mengurangkan risiko berlakunya insiden sama berulang, saya menggesa Pejabat Residen Bintulu mengadakan mesyuarat khas dengan segera bagi membincangkan mekanisme sesuai dan proaktif bagi mengurangkan risiko berlakunya insiden letupan yang amat berbahaya kepada para pekerja termasuk komuniti setempat di Bintulu.

Dalam pada itu katanya, semua pemain industri di SIP wajip hadir dalam mesyuarat itu nanti bagi membincangkan mengenai aspek keselamatan di tempat kerja, sekali gus meningkatkan pengurusan keselamatan industri mereka.

"Tujuannya adalah bagi memastikan semua kilang melaksanakan mekanisme keselamatan yang ketat dan membangunkan protokol tindak balas krisis yang komprehensif," tegasnya.

Langkah ini secara tidak langsung jelas Tiong, akan membolehkan semua pihak bertindak balas dengan cepat terhadap insiden yang sama sekali gus meminimumkan risiko kecederaan atau kematian.

Mesyuarat ini katanya, dijangka diadakan selewat-lewatnya akhir bulan ini atau awal bulan depan yang akan dihadirinya secara peribadi bagi memantau perjalanan mesyuarat.

Beliau dalam pada itu mahukan semua kilang memberikan keutamaan sepenuhnya terhadap keselamatan operasi dengan menyemak semula sistem semasa mereka secara menyeluruh bagi mengenal pasti sebarang kelemahan yang menjurus kepada berlakunya kebakaran serta kemalangan di tempat kerja.

"Walaupun Bintulu mengalu-alukan kedatangan syarikat perindustrian bagi melabur dan beroperasi di kawasan ini, kerajaan tidak akan bertoleransi atau berkompromi dengan sebarang bentuk impak negatif daripada industri seperti kebakaran, letupan dan sebagainya yang boleh mengancam keselamatan penduduk setempat," tegasnya.


Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

30-1-2025 07:35 AM GMT+8 , Processed in 0.056567 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list