Pokok Sena: Jenazah Mohammad Khairul Hakim Hamidi, 37, yang lemas di Sungai Jahang, Gopeng di Perak semalam, selamat dikebumikan, 12.30 tengah hari tadi.
Terdahulu, jenazah arwah dibawa ke Masjid Ar Rayyan, Kampung Bukit, Naka untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit, dekat sini.
Kira-kira 300 orang termasuk ahli keluarga dan sahabat handai menghadiri majlis pengebumian jenazah Allahyarham.
Rakan mangsa, Mohd Arif Ahmad Zukri, 30, berkata arwah seorang yang sangat baik, malah dia tidak pernah marah dan sering membantu jika dalam kesusahan sepanjang perkenalan mereka.
Menurutnya, setiap hari arwah akan menghantar WhatsApp kepadanya untuk bertanya khabar sebelum masuk kerja pada 8 pagi.
"Kami sama-sama bekerja di Langkawi, tetapi berlainan bidang, namun hubungan kami sangat rapat.
"Kali terakhir bertemu dengannya pada Rabu lalu, namun arwah tidak menunjukkan perubahan sikap," katanya ketika ditemui, di sini.
Mohd Arif berkata, dia mengetahui kejadian melalui rakan-rakan pada 7.30 malam semalam dan terkejut apabila dimaklumkan Muhammad Khairul Hakim lemas.
Katanya, dia bagai tidak percaya kejadian itu berlaku sehingga rakan baiknya pergi buat selama-lamanya.
"Memang banyak kenangan saya bersama arwah kerana kami selalu keluar makan bersama dan lepak jika ada kelapangan.
"Selepas ini tak ada dah orang nak hantar WhatsApp setiap pagi untuk bertanya khabar seperti yang arwah lakukan. Memang dia sahabat yang baik," katanya.
Muhammad Khairul Hakim antara tiga pegawai Jabatan Kerja Raya (JKR) yang meninggal dunia akibat lemas dalam aktiviti 'water rafting' di Sungai Jahang, Gopeng, Perak, semalam.
Allahyarham bertugas sebagai Penolong Jurutera Kanan JKR Daerah Langkawi meninggalkan isteri, Nur Sharina Shamsudin, 38, dan tiga anak, Asma Nur Imani, 11, Iman Nur Hannan, 8, dan Muhammad Al Fateh, 6.
Dalam kejadian 5.50 petang semalam, Muhammad Khairul Hakim dan dua lagi pegawai JKR, Suhaili Mohd Saad, 47, dari JKR Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang manakala Muhammad Ikram Abdul Bari, 29, dari JKR Langkawi ditemui lemas.