Edited by sfhzuraz at 16-11-2024 10:22 AM
Amal budaya menabung sejak di awal usia
16 November 2024 10:00am
Norliza (tengah) bersama pegawai dan kakitangan Hospital Pulau Pinang menyantuni ibu dan bayi menerusi Program Junior Superhero Simpan SSPN, pada Jumaat.
GEORGETOWN - Amalan menabung demi masa depan dan pendidikan anak-anak perlu dipupuk di awal usia kerana ia akan pasti memberi manfaat pada masa akan datang.
Bagi membudayakan amalan itu, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) meneruskan kesinambungan Program Junior Superhero Simpan SSPN yang diadakan sejak tahun lalu di Hospital Pulau Pinang (HPP), di sini pada Jumaat.
Pengerusinya, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, Program Junior Superhero Simpan SSPN merupakan salah satu program tanggungjawab sosial korporat (CSR) PTPTN yang dilaksanakan bersempena dengan Hari Tabungan Sedunia.
Menurutnya, melalui program ini, Pengerusi PTPTN telah menyantuni dan beramah mesra bersama ibu-ibu yang telah melahirkan cahaya mata.
]
Norliza menyantuni seorang ibu bersama bayinya dalam Program Junior Superhero Simpan SSPN di Hospital Pulau Pinang.
"Seperti yang semua tahu, PTPTN mempunyai produk Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) yang mana kita nak pupuk budaya menabung dalam kalangan ibu bapa.
“Kita mengambil kesempatan melawat Hospital Pulau Pinang yang menjadi destinasi pertama untuk memperkenalkan Simpan SSPN kepada ibu bapa selain menyampaikan sumbangan akaun Simpan SSPN kepada setiap kelahiran sebanyak RM100 dan hamper kelahiran sebanyak RM100.
"Jadi ini adalah inisiatif kita untuk menggalakkan budaya menabung dalam kalangan masyarakat demi pendidikan. Kita sarankan untuk ibu bapa yang mempunyai kelahiran baharu eloklah mula membuka akaun Simpan SSPN dengan jumlah minima RM20 sahaja dan pelbagai keistimewaan serta manfaat akan mereka terima.
"Antaranya ialah pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful ke atas pendeposit, Geran Sepadan secara percuma sehingga RM10,000 untuk satu keluarga yang layak, kadar dividen yang kompetitif, simpanan dijamin Kerajaan dan patuh syariah," katanya.
]
Norliza (tengah) bersama bergambar bersama bayi yang baharu lahir di Hospital Pulau Pinang.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas membuat lawatan di Wad Obstetrik, HPP pada Jumaat.
Hadir sama, Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid, Pengarah HPP, Dr Goh Hin Kwang dan Pengarah Negeri, Pejabat PTPTN Negeri Pulau Pinang, Muhammad Muhsin Abdul Rahman.
Dalam program itu, seramai 50 bayi telah menerima sumbangan akaun Simpan SSPN berjumlah RM5,000.
Norliza berkata, dengan membuat simpanan dalam Simpan SSPN, akses kepada pendidikan tinggi anak-anak akan lebih terjamin dan tidak perlu lagi menanggung beban hutang pinjaman yang tinggi.
Perancangan kewangan
Sementara itu beberapa ibu muda yang ditemui menzahirkan rasa syukur dengan keperihatinan PTPTN yang menyumbangkan hadiah serta pembukaan akaun Simpan SSPN kepada anak mereka.
]
Norliza (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan akaun Simpan SSPN dan hamper kelahiran sempena Program Junior Superhero Simpan SSPN di Hospital Pulau Pinang.
Syufinor Izzatie Shaik Fisol, 25 yang menimang cahaya mata pertama berkata, dengan simpanan melalui Simpan SSPN akan membolehkan dia membuat perancangan kewangan dengan lebih baik untuk masa depan anaknya lebih-lebih lagi demi pendidikan nanti.
"Kita tidak tahu bagaimana cabaran ekonomi dan keadaan kewangan pada masa akan datang. Namun sekiranya ada simpanan apatah lagi dengan jaminan serta faedah yang ditawarkan Simpan SSPN ini ia mungkin akan memberikan kelegaan suatu hari nanti," katanya.
Seorang lagi penerima, Nur Imyrah Abdullah, 27 turut mengakui kepentingan budaya menabung di awal usia yang akan memberi manfaat kepada masa depan anaknya nanti.
Menurutnya, menabung amat penting untuk masa depan lebih-lebih lagi kepada anak-anak yang akan melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi sama ada di institusi Pendidikan Tinggi bila semakin membesar nanti.
"Terima kasih PTPTN atas sumbangan yang diberikan ini dan pastinya saya akan mula menabung melalui Simpan SSPN untuk kepentingan dan masa depan anak saya yang lebih cerah," katanya.
https://www.sinarharian.com.my/article/696847/berita/nasional/amal-budaya-menabung-sejak-di-awal-usia
|