Bukit Mertajam: Pemandu lori yang mengakibatkan kontena dibawanya menghempap kenderaan hingga seorang wanita maut di persimpangan lampu isyarat di Bukit Tengah, di sini, semalam direman empat hari bermula hari ini.
Majistret Mohd Harith Mohd Mazlan membenarkan reman terhadap lelaki tempatan berusia 51 tahun itu sehingga 17 November ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Terdahulu, suspek yang tiba di mahkamah sekitar 8.20 pagi diiringi anggota polis sempat menunjukkan tanda 'peace' ketika pihak media merakamkan wajahnya.
Semalam, polis menahan pemandu lori terbabit kerana terbabit dalam kemalangan membabitkan lima kereta dan sebuah lori yang sedang berhenti di lampu isyarat.
Dalam kejadian 9.15 pagi itu, wanita berusia 21 tahun maut di lokasi kejadian, manakala lelaki berusia 25 tahun cedera dan dirawat di Hospital Bukit Mertajam (HBM)
Terdahulu, tular video dan beberapa keping gambar di media sosial memaparkan deretan kenderaan yang berada di persimpangan lampu isyarat dikejutkan dengan insiden kontena yang terjatuh dari sebuah treler.
Menerusi rakaman kamera papan pemuka dari sebuah kenderaan mendapati pemandu lori sedang membelok sebelum kontena dibawanya terbalik dan menimpa beberapa kenderaan.