Alor Setar: Kehilangan Siti Rohani Saad, 37, sejak Jumaat lalu, masih menjadi misteri biarpun motosikal milik wanita itu sudah ditemui di Sungai Titi Haji Idris, Kampung Alor Sekawan di sini, pada hari kejadian.
Bagaimanapun, keluarga wanita itu masih menaruh harapan tinggi mangsa ditemui selamat.
Kakak mangsa, Naziroh Saad, 50, berkata, keluarganya berterima kasih kepada polis dan pasukan bomba dan penyelamat yang melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) adiknya, sejak kelmarin.
Katanya, dia dimaklumkan pihak polis operasi dihentikan dan akan diteruskan sekiranya ada petunjuk baharu diperoleh.
"Kami sentiasa memohon doa supaya Siti Rohani segera ditemukan dengan selamat. Kehilangannya sejak lima hari lalu amat dirasai dan setakat ini tiada sebarang khabar berita mengenainya dan kami amat berharap dia selamat.
"Kami sekeluarga sudah melakukan ikhtiar lain dengan mengadakan bacaan Yasin bagi mendoakan kesejahteraannya," katanya.
Naziroh turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terutamanya pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, anggota dan pegawai polis serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kota Setar yang bertungkus lumus melakukan pencarian adiknya selama tiga hari sejak Jumaat lalu.
Katanya, mereka sudah berusaha melakukan yang terbaik dan berharap usaha mencari dapat diteruskan jika ada petunjuk baharu.
Kelmarin, Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah, Penguasa Kanan Bomba 1 Ahmad Aminuddin Abd Rahim berkata, operasi SAR Siti Rohani di sungai itu ditangguhkan buat sementara waktu memandangkan tiada sebarang petunjuk ditemukan selepas tiga hari operasi pencarian dilakukan.
Beliau berkata, keputusan itu diambil selepas pihaknya mengadakan perbincangan dengan polis dan operasi pencarian akan disambung sekiranya ada petunjuk baharu selepas ini.
Media sebelum ini melaporkan kehilangan Siti Rohani Saad, 37, selepas motosikalnya ditemui di tebing Sungai Titi Haji Idris Jumaat lalu namun dia tiada di kawasan itu.
Majikan mangsa yang menyedari wanita itu tidak sampai di tempat kerjanya menghubungi anak saudara wanita itu sebelum keluarganya membuat laporan di Balai Polis Langgar pada hari kejadian.