'Tak sampai lima minit, habis rumah saya rosak akibat puting beliung
Oleh Zuliaty Zulkiffli - November 8, 2024 @ 11:02pm[email protected]
Bumbung kediaman penduduk rosak dalam kejadian puting beliung yang melanda Pendang menyebabkan beberapa rumah penduduk rosak.- Foto NSTP/IHSAN APM
PENDANG: "Kejadian puting beliung itu sangat menakutkan kerana ia berlaku tak sampai lima minit tetapi habis bumbung rumah berterbangan manakala barangan dalam rumah pula rosak.
"Ayah yang ketika itu berada di tepi jalan ditolak angin sehingga terjatuh ke dalam parit tetapi mujur dia tidak cedera dan bangun semula selepas itu," kata Muhammad Hafizudin Salim, 30.
Menurutnya, kejadian berlaku sekitar jam 4 petang ketika dia baru pulang dari kerja di sebuah hotel di Pendang.
Katanya, ketika kejadian dia berada dalam bilik di rumahnya di Kampung Bukit Cepat, dekat Kobah, di sini.
"Bapa saya Salim Md Hassan dan ibu, Rokiah Aziz, berada di luar rumah duduk bersantai.
"Pusaran angin kuat seperti belalai air tiba-tiba menerpa ke bahagian rumah kami dan ketika itu saya nampak kejadian itu dari tingkap rumah.
"Tak sampai lima minit, rumah saya habis rosak termasuk bumbung hilang manakala rumah tok (nenek) bersebelahan rumah juga turut rosak," katanya ketika dihubungi hari ini.
Muhammad Hafizudin menganggarkan kejadian itu menyebabkan mereka kerugian kira-kira RM20,000 dan ini kali kedua kejadian itu berlaku apabila kali pertama berlaku pada 2012 tetapi tidak seteruk hari ini.
Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Pendang, Leftenan (PA) Yuslina Yusoff berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan membabitkan puting beliung di daerah itu dan sebanyak enam buah rumah penduduk rosak akibat kejadian itu.
Beliau berkata, empat buah rumah yang terjejas berlaku di Kampung Kobah dan dua rumah lagi di Kampung Bukit Cepat.
"Kejadian berlaku ketika hujan dan angin kencang di sekitar Pendang yang mengakibatkan ribut di beberapa buah kampung pada jam 2.45 petang.
"Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Pendang menerima aduan berkenaan kejadian ribut yang berlaku di Kampung Bukit Cepat dan Kampung Kobah pada jam 6.51 petang tadi.
"Anggota APM Pendang masih melakukan pemantauan di lokasi kejadian ribut ketika ini dan mendapati terdapat dua buah rumah yang terjejas di Kampung Bukit Cepat, dan empat buah rumah yang terjejas di Kampung Kobah disebabkan ribut yang berlaku," katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, bagaimanapun tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka setakat ini dan APM menasihatkan orang awam supaya berhati-hati dan terus menghubungi pihak berkenaan jika berlaku sebarang kecemasan.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2024/11/1321473/tak-sampai-lima-minit-habis-rumah-saya-rosak-akibat-puting-beliung
|