ALOR SETAR: Seorang aktivis politik antara tiga lelaki ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki meminta dan menerima rasuah.
Perintah reman empat hari sehingga 9 November itu dikeluarkan Majistret Siti Nor Hasliza Md Ali susulan permohonan SPRM di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Lelaki berusia antara 30-an hingga 50-an itu didakwa meminta wang daripada seorang pendakwah selebriti kononnya bagi membantu menyelesaikan kes pengubahan wang haram (AMLA) yang dalam siasatan polis.
Difahamkan, ketiga-tiga lelaki itu ditahan antara jam 12 tengah hari hingga 5 petang semalam dalam operasi sekitar Bedong, Sungai Petani dan di Pejabat SPRM Kedah.
"Siasatan awal mendapati mereka dipercayai bersubahat meminta wang RM150,000 tetapi hanya menerima RM20,000 tunai daripada pendakwah terbabit," katanya
Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Ahmad Nizam Ismail, ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.
Sementara itu, aktivitis politik yang juga pempengaruh media sosial itu tiba di perkarangan mahkamah jam 9 pagi tadi dengan berpakaian lokap.