CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 26862|Reply: 0

[Pulau Pinang] Pesawah di Balik Pulau buntu padi tak jadi, rugi hampir RM20,000

[Copy link]
Post time 5-11-2024 06:48 PM | Show all posts |Read mode
Edited by sfhzuraz at 5-11-2024 06:49 PM

Pesawah di Balik Pulau buntu padi tak jadi, rugi hampir RM20,000

05 November 2024 05:45pm




Hasiah menunjukkan petak sawahnya yang dipenuhi air yang tidak dapat disalirkan keluar, menyebabkan semua benih padi yang ditabur mati. Foto Bernama




BALIK PULAU - Dua pesawah di Kampung Terang di sini mendakwa kerugian hampir RM20,000 selepas tanaman padi yang diusahakan tidak menjadi akibat masalah sistem perparitan.

[Ibrahim Ahmad, 57, ketika ditemui Bernama mendakwa masalah itu sudah berlarutan selama empat musim atau dua tahun, namun musim padi kali ini paling teruk berikutan air dari petak sawah tidak dapat disalir keluar menyebabkan hampir semua benih padi yang ditabur mati.

"Apabila air tidak dapat dilepaskan, maka ia akan bergenang serta menjadi keruh (tidak sesuai untuk tanaman padi)...padi tak boleh tumbuh dengan elok sebab kalau (benih) dah terendam tiga hingga empat hari, memang dah tak dapat hidup lagi.

"Ini kali pertama (tunas padi) tak naik langsung, musim lepas naik juga. Sudah buat serak balas (tabur benih) pun tak jadi juga sebab air penuh dan keruh hingga merosakkan tanah,” katanya pada Selasa.

Ibrahim memberitahu dia telah mengusahakan tanaman padi sejak 2020 berkeluasan 10 ekar (4.04 hektar) dan kawasan terjejas hanya melibatkan satu ekar (0.4 hektar) atau satu petak sawah.

]
Ibrahim merenung sambil memerhatikan petak sawah yang dipenuhi air yang tidak dapat disalir keluar menyebabkan semua benih padi yang ditabur mati. Foto Bernama




Selain itu, Ibrahim mendakwa saluran perparitan di situ juga tidak diselenggara dengan baik apabila dipenuhi dengan rumput menyebabkan air tidak dapat mengalir serta tersumbat dan berikutan masalah itu, dia telah mengalami kerugian kira-kira RM20,000.

Sementara itu, seorang lagi pesawah Hasiah Hassan, 59, berkata, secara keseluruhan terdapat 20 pesawah yang mengusahakan padi di kawasan berkenaan tetapi tanaman miliknya dan Ibrahim sahaja yang mengalami masalah berikutan kedudukan petak mereka yang berada di bahagian hujung.





]
Sistem perparitan yang tidak sempurna menjadi punca tanaman padi diusahakan pesawah sejak bertahun-tahun tidak membuahkan hasil. Foto Bernama




Hasiah berkata, dia tidak lagi mampu untuk menanggung kerugian bukan sahaja dari segi kos sewa tapak, tetapi benih, racun siput serta hutang lain yang menjangkau ribuan ringgit.

Ibu kepada tiga anak itu berkata, ketika awal musim penanaman pada September lepas, sudah pun menabur enam beg benih bagi satu petak sawah, tetapi tidak menjadi dan menambah lagi enam beg baru-baru ini, namun keadaan tetap sama berikutan air keruh memenuhi petak berkenaan.

Justeru, beliau merayu kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Seri Pulau agar masalah dihadapinya menemui noktah supaya mereka yang hanya bergantung kepada hasil tanaman padi tidak lagi menanggung kerugian dan mampu mengutip hasil seperti sebelumnya.


"Kalau ikutkan memang kecewa dan kalau boleh, besar harapan saya agar ada tindakan untuk baik pulih dan selenggara parit ini, buat pengambilan (tanah untuk bina sistem perparitan lebih baik) supaya kami dapat tanam padi semula,” katanya yang sudah sembilan tahun mengusahakan tanaman padi.


Kampung Terang merupakan antara beberapa lokasi di Balik Pulau yang terkenal dengan fenomena sawah padi cantik yang terletak di bahagian pulau di Pulau Mutiara itu dan ketika musim padi, kehijauan sawah menjadi tarikan pengunjung berikutan pemandangan yang menarik.

Menanam padi juga merupakan antara kegiatan utama yang dilakukan oleh penduduk di Balik Pulau selain menjadi nelayan sehingga kini. - Bernama

https://www.sinarharian.com.my/article/694889/edisi/utara/pesawah-di-balik-pulau-buntu-padi-tak-jadi-rugi-hampir-rm20000


Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

28-12-2024 12:32 PM GMT+8 , Processed in 0.048937 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list