2 suspek kes bunuh Sabari didakwa esok
M Hifzuddin Ikhsan - Oktober 16, 2024 @ 3:24pm [email protected]
Dua suspek kes pembunuhan pesara FELCRA, Sabari Baharom (gambar kecil) akan dituduh di Mahkamah Majistret Kubang Pasu, Kedah esok. - NSTP/FOTO HIASAN
ALOR SETAR: Dua suspek kes pembunuhan pesara FELCRA, Sabari Baharom, 62, akan didakwa di Mahkamah Majistret Kubang Pasu di Jitra, esok.
Perkara itu dimaklumkan jurucakap Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, hari ini.
"Untuk makluman, dua suspek kes pembunuhan Sabari akan dituduh di Mahkamah Majistret Kubang Pasu, esok 17 Oktober, jam 8.30 pagi," katanya dalam kenyataan ringkas.
Sebelum ini, dua lelaki masing-masing berusia 26 dan 38 tahun direman seminggu bermula 11 Oktober lalu untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sabari, bekas pegawai kewangan FELCRA, dilaporkan hilang pada 3 September lalu selepas dipercayai keluar dari rumah di Kampung Mengkuang Tengah, Baling, menaiki kereta Proton Waja miliknya.
Laporan polis dibuat selepas mangsa gagal dihubungi ahli keluarga serta tidak pulang ke rumah. Kehilangannya bertambah misteri apabila keretanya ditemui dibakar di kawasan pembuangan sampah di Kampung Pulau Belantek, Sik.
Ahli keluarga mengesyaki Sabari dilarikan individu tidak dikenali berikutan berlaku beberapa transaksi pemindahan wang dari akaunnya ke akaun bank milik orang lain dalam tempoh beberapa hari selepas kehilangannya.
Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh kemudian memaklumkan, polis menahan dua suspek pada 27 September bagi membantu siasatan.
Menurut Fisol, hasil siasatan lanjut, suspek terbabit membuat pengakuan mencampak mangsa ke dalam Sungai Padang Terap di Derang, Jitra dalam keadaan tangan diikat dan mulut ditutup menggunakan pita pelekat.
Operasi pencarian telah dilakukan di sepanjang sungai selama tiga hari dari 30 September hingga 2 Oktober melibatkan pelbagai agensi sebelum ditamatkan pada 3 Oktober selepas tidak menemui sebarang petunjuk.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2024/10/1311703/2-suspek-kes-bunuh-sabari-didakwa-esok
|