Baling: Pasir dan batu kecil setebal hampir satu meter memenuhi kebun sawit di Kampung Batu 8 dekat sini selepas beberapa kali dilanda banjir sejak awal bulan.
Pemilik kebun Ahmad Simi Abdul Rauf, 61, berkata pasir dan batu kecil itu dihanyutkan ke kawasan kebunnya yang terdapat kira-kira 80 pokok sawit selepas tembok batu di tebing sungai berhampiran runtuh dalam kejadian banjir.
"Waktu banjir besar gelombang pertama 1 Oktober lalu tembok itu runtuh, Sabtu lalu apabila banjir sekali lagi, arus membawa pasir dan batu-batu kecil masuk ke kebun sawit.
" Pokok sawit yang sudah beberapa tahun mengeluarkan hasil kini menjadi rendah sebab sudah separuh tenggelam.
"Kerja-kerja pembersihan pasir mungkin mengambil masa lama malah kosnya juga pasti tinggi," katanya ketika ditemui pemberita dekat sini petang Isnin.
Pesara guru itu berkata kebun sawit berkenaan diusahakan sejak 12 tahun lepas namun baru beberapa tahun kebelakangan ini mengeluarkan hasil.
"Apabila pasir tebal begitu, sukar untuk kami membaja sebab belum tentu baja sampai ke akar. Dalam kebun itu juga terbentuk beberapa laluan air tiap kali hujan lebat.
"Kos mencuci memang tinggi, untuk bina tembok sahaja dulu mencecah RM25,000. Kos cuci sungai RM3,000 dan RM1,000 bagi membuat saliran air di tepi tebing mengelilingi kebun, jika buat semula memang agak sukar," katanya yang lumpuh tangan kanan akibat angin ahmar empat tahun lalu.
Sementara itu, isterinya Norazura Mansor, 54, berkata banjir kali ini adalah yang terburuk dialami penduduk sejak tinggal di kampung berkenaan.
"Kerja-kerja membaja (kebun sawit) baru dibuat Ogos lali, namun kini tidak tahu bagaimana hasil buah sawit jika baja tidak sampai ke akar pokok.
"Mungkin hasil berikutnya akan berkurangan, saya cuma berharap agar ada pihak dapat membantu kami membersihkan sungai supaya air tidak lagi masuk ke kebun sawit," katanya.