Alor Setar: "Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bersedia untuk membantu sekiranya berlaku banjir besar ketika tempoh peralihan monsun," kata Panglima Tentera Udara Jeneral Tan Sri Asghar Khan Goriman Khan.
Kata beliau, semua lokasi di kawasan tinggi dan tempat pendaratan helikopter sudah dikenal pasti di seluruh kawasan berisiko banjir di seluruh negara.
"Sekarang, ia tidak kritikal, jadi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam (APM) yang menguruskannya.
"Tetapi jika diperlukan, kami sudah bersedia," katanya pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Sayap Penerbangan 2024 kepada 29 pelatih juruterbang di Kolej Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), di sini, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Asghar Khan turut mengingatkan anggota serta pegawai TUDM supaya terus mengekalkan tahap profesionalisme selain mengelak daripada terjebak dengan salah laku.
"Anggota tentera perlu mengelakkan salah laku seperti penyalahgunaan dadah, rasuah, perjudian dan buli, atau sebarang tindakan yang boleh menjejaskan imej ketenteraan
"Angkatan tentera memerlukan anggota yang boleh mengikut arahan dengan tepat bagi memastikan keselamatan mereka sendiri terjaga semasa operasi penerbangan dan dalam melaksanakan tugas," katanya.
"Kita melatih pegawai, juruterbang dan anggota TUDM lain malah kita turut mengendalikan sistem pesawat bernilai berbilion ringgit, dan kosnya sangat tinggi malah di dunia hari ini, segalanya bergantung pada teknologi canggih dan terkini.
"Jadi, kita tidak mampu untuk mempunyai anggota yang gagal mencapai standard. Kita mesti mematuhi peraturan, mengekalkan disiplin dan mengikuti semua Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan," katanya lagi.