Georgetown: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mengingatkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya tidak mengendahkan cadangan atau nasihat daripada industri komersial mengenai Akta Kawalan Produk Merokok bagi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).
Pegawai Pendidikannya, NV Subbarow berkata, Akta 852 adalah undang-undang yang ditunggu-tunggu, menjadi pelindung dan penyelamat beribu-ribu nyawa generasi muda dan bukan perokok.
Katanya, undang-undang merokok baharu itu adalah bagi meningkatkan kesihatan dengan mewujudkan budaya yang mengurangkan pendedahan kepada tembakau dan produk merokok lain serta asap rokok terpakai.
"Ia juga boleh menyokong perokok berhenti dan tidak menggalakkan orang ramai daripada mengambil tabiat itu.
"Terdapat juga beberapa industri komersial seperti restoran makanan, minuman dan kedai runcit yang menentang Akta 852," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Subbarow berkata, perlu ada sekatan ketat terhadap pembekalan, pengiklanan, paparan dan promosi produk merokok.
Katanya, produk rokok adalah termasuk tembakau, rokok herba, campuran asap lepas, penguap peribadi seperti elektronik atau e-rokok atau pen vape.
"Sehubungan itu, CAP menyokong penuh dan menggesa KKM supaya tidak mengadakan sebarang perbincangan dengan industri komersial mengenai Akta 852," katanya.
Subbarow berkata demikian susulan laporan Harian Metro pada 7 Oktober lalu mengenai gesaan Persekutuan Persatuan-Persatuan Peniaga-Peniaga Barang-Barang Runcit Malaysia (FSGMAM) terhadap KKM supaya menangguhkan pelaksanaan larangan pameran produk merokok mengikut Akta 852.
Presiden FSGMAM Hong Chee Meng mendakwa, ia dilaksanakan secara tergesa-gesa tanpa sebarang perundingan dengan peruncit mengenai tempoh pematuhan.