Sungai Chepir melimpah, tiga kampung di Sik dilanda banjir kilat
Oleh Zuliaty Zulkiffli - Oktober 13, 2024 @ 12:20am [email protected]
Anggota BBP Sik melakukan operasi menyelamat penduduk di lokasi yang dilanda banjir kilat akibat limpahan Sungai Chepir. - Foto ihsan bomba
SIK: Hujan lebat lebih dua jam sejak jam 7 malam tadi menyebabkan 20 rumah penduduk di tiga kampung di daerah ini dilanda banjir kilat sehingga paras satu meter.
Antara kampung yang terjejas adalah Kampung Belimbing, Kampung Chepir dan Kampung Lubuk Tualang, di sini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sik, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian banjir kilat di kawasan itu jam 9.15 malam tadi.
Anggota BBP Sik melakukan operasi menyelamat di lokasi. - Foto ihsan bomba
"Sepasukan 10 anggota tiba di lokasi dan membantu melakukan operasi menyelamat mangsa yang terperangkap akibat banjir kilat.
"Dalam operasi itu, pasukan BBP Sik menyelamatkan seorang wanita warga emas yang lumpuh di Kampung Belimbing. Operasi turut dibantu penduduk kampung sebelum warga emas itu dibawa ke rumah saudaranya di Kampung Belimbing dengan menggunakan jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS)," katanya di sini, hari ini.
Zulkhairi berkata, selain itu, anggotanya turut menyelamatkan sebuah keluarga terdiri dua kanak-kanak perempuan serta seorang lelaki dan wanita dewasa selepas kediaman mereka yang dinaiki air serta berarus deras.
"Mereka kemudian dihantar ke pusat pemindahan sementara (PPS) di kawasan itu. Operasi menyelamat masih dilakukan setakat ini untuk membantu mangsa yang terperangkap dalam banjir kilat.
"Banjir kilat melanda di kawasan itu akibat limpahan Sungai Chepir. Sehubungan itu, penduduk yang tinggal berhampiran kawasan sungai atau berisiko dinaiki air dapat bersiap-sedia untuk berpindah dengan segera," katanya.
Anggota BBP Sik melakukan operasi menyelamat di lokasi. - Foto ihsan bomba
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2024/10/1310075/sungai-chepir-melimpah-tiga-kampung-di-sik-dilanda-banjir-kilat
|