2 PPS ditutup, banjir di Perlis pulih sepenuhnya hari ini
Oktober 12, 2024 @ 3:44pm
Gambar hiasan
KANGAR: Banjir di Perlis pulih sepenuhnya apabila dua pusat pemindahan sementara (PPS) yang beroperasi di Kangar dan Arau masing-masing ditutup pada petang ini dan tengah hari tadi.
Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis, Ku Chik Ku Mat Esa, berkata dua PPS itu ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Sena di Kangar yang ditutup jam 2 petang, manakala PPS SK Arau bagi kawasan daerah Arau pula ditutup jam 12 tengah hari tadi.
Beliau berkata, seramai 119 mangsa banjir di PPS SK Sena dan lima orang berlindung di PPS SK Arau dibenarkan pulang ke rumah masing-masing jam 8 pagi tadi.
"Mereka yang terbabit banjir ini antaranya dari Kampung Tok Kandang, Kampung Bakau dan Kampung Repoh di Kangar, manakala Kampung Banat, Kampung Belat Batu dan Kampung Seberang Behor Mempelam bagi kawasan Arau," katanya dalam kenyataan hari ini.
Banjir di Perlis berlaku pada Selasa lalu menyebabkan PPS SK Sena dan SK Kubang Gajah, Arau mula dibuka pada jam 12 tengah hari sebelum PPS SK Kubang Gajah ditutup jam 12.30 tengah hari semalam.
Tiga lagi PPS yang beroperasi sebelum ditutup semalam dan Khamis lalu ialah PPS Kolej Vokasional Kangar yang ditutup jam 12.40 tengah hari semalam, manakala PPS SK Guar Nangka (di Arau) dan PPS SK Bintong (di Kangar) ditutup Khamis lalu masing-masing pada jam 10.30 pagi dan jam 2 petang. – BERNAMA
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/10/1309958/2-pps-ditutup-banjir-di-perlis-pulih-sepenuhnya-hari-ini
|