Pemimpin, pentadbir pendidikan disaran kuasai AI
Oktober 12, 2024 @ 10:33am
Saifuddin pada majlis Bicara Eksekutif MADANI di Institut Aminuddin Baki (IAB) KPM malam tadi. Foto Bernama
JITRA: Pemimpin dan pentadbir pendidikan disaran menguasai perkembangan teknologi baharu terutama kecerdasan buatan (AI) bagi memastikan mereka tidak ketinggalan, sekali gus dapat melahirkan pelajar lebih berdaya saing.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata pengetua, guru besar dan guru perlu sekurang-kurangnya memastikan pelajar mereka tahu mengenai istilah AI.
"Kalau tertinggal dan tak boleh kuasai cabang ilmu baharu seperti AI, maknanya kita sudah tertinggal jauh. Saya fikir isu ini sangat relevan sebab pemimpin dan pentadbiran pendidikan, perlu sekurang-kurangnya mendidik pelajar tahu istilah AI kerana itulah realiti hari ini," katanya.
Beliau berkata demikian pada Bicara Eksekutif MADANI bertajuk Peranan Pemimpin MADANI dalam Memartabatkan Manusiawi dan Menyejahterakan Masyarakat di Institut Aminuddin Baki (IAB) Kementerian Pendidikan (KPM) Cawangan Utara di sini, malam tadi.
Program Bicara Eksekutif MADANI kali ini disertai barisan pemimpin dan pentadbiran pendidikan Zon Utara dari Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Perak serta Kelantan.
Saifuddin berkata, dalam aspek ekonomi juga, perladangan bukan lagi komoditi sebaliknya data kini menjadi sumber pendapatan baharu.
"Dunia sudah berubah, perdagangan bukan lagi komoditi seperti dulu, bijih timah, getah, sawit atau minyak dan gas, sebaliknya data ialah 'minyak' yang baharu," katanya.
Sementara itu, Pengarah IAB, Ab Aziz Mamat, berkata Bicara Eksekutif MADANI kali ini bertepatan dengan peranan dan tanggungjawab pemimpin pendidikan dalam organisasi diterajui.
"Pemimpin dalam sesebuah organisasi pendidikan terutamanya, amat berperanan dalam memastikan aspek kemuliaan insan dan manusiawi diberi perhatian utama supaya dapat membentuk generasi berakhlak tinggi, ihsan, berkeyakinan dan berdaya cipta," katanya.
Beliau berkata, Bicara Eksekutif MADANI diharap menjadi titik tolak kepada usaha berterusan pemimpin pendidikan untuk menyemarakkan nilai MADANI dalam setiap aspek kepimpinan dan pengurusan mereka bagi memastikan kesejahteraan, kemampanan serta keselamatan negara terjamin.
Peserta program, Iskandar Mohd Nasir yang juga Penolong Kanan Pentadbiran sekolah di Kelantan berkata, program itu memberikan impak sangat tinggi untuk barisan kepimpinan iaitu pengetua dan guru besar.
"Apa yang kita dapat ialah bagaimana pendidikan harus mendepani perubahan dalam arus teknologi maklumat terutama AI. Pemimpin pendidikan diberi tanggungjawab sangat besar untuk mempersiapkan murid bagi menghadapi cabaran AI ini.
"Ia tidak mudah, namun harus didepani dan diburu kerana ia hasrat dan teras dalam tonggak kerajaan MADANI," katanya.
Penolong Kanan Pentadbiran sekolah, Ku Nor Suriati Ku Ishak pula berkata, program itu sangat membuka minda pemimpin pendidikan dalam usaha melahirkan pelajar yang bakal menjadi pemimpin dengan input untuk merealisasikan hasrat Malaysia MADANI. – BERNAMA
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/10/1309841/pemimpin-pentadbir-pendidikan-disaran-kuasai-ai
|