Pengetua sekolah serah resolusi perkasa pendidikan negara untuk perhatian PM
Oleh Nur Izzati Mohamad - Oktober 7, 2024 @ 8:14pm[email protected]
Zambry (kanan) menerima dan membaca resolusi persidangan daripada Timbalan Presiden MPSM, Nurul Amali Mohd Shamsudin (tengah) pada majlis perasmian Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan Pengetua Sekolah Malaysia Kali Ke-62 di Bertam Resort. - Foto NSTP/DANIAL SAAD
KEPALA BATAS: Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir akan menyerahkan resolusi mengandungi cadangan dan harapan semua pengetua sekolah di seluruh negara untuk diteliti Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Terdahulu, Zambry menerima resolusi itu daripada wakil Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM) ketika merasmikan Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan kali ke-62 di Bertam, di sini, hari ini.
Resolusi yang menggariskan 12 inti pati itu dicadangkan oleh MPSM melalui hasil perbincangan daripada warga pendidik sebagai usaha untuk memperkasakan kualiti sistem pendidikan negara.
Zambry berkata, antara terkandung dalam resolusi itu keperluan terkini, termasuk memulihkan prasarana sekolah yang sememangnya menjadi perhatian kerajaan.
"Sebagai mewakili kerajaan, saya menerima maklum balas (resolusi) daripada mereka (MPSM).
"Resolusi ini bukanlah berbentuk tuntutan, sebaliknya adalah harapan mereka terutama dalam menambahkan lagi kualiti pengajaran sistem (pendidikan) di sekolah ketika ini termasuk skim perkhidmatan yang boleh dilihat semula.
"Pihak kerajaan akan melihat keperluan yang mereka nyatakan dan kita akan mengadakan proses timbal-balik dengan pengetua (selepas ini)," katanya selepas majlis itu.
Seramai 674 pengetua seluruh negara hadir pada persidangan bertemakan 'Pendidikan Manusiawi Memacu Pendidikan Negara MADANI' yang akan berlangsung sehingga Khamis ini.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/10/1307955/pengetua-sekolah-serah-resolusi-perkasa-pendidikan-negara-untuk
|