Lelaki lemas kereta dipandu terjunam ke Sungai Santap
Oleh Zuliaty Zulkiffli - Oktober 3, 2024 @ 1:52pm [email protected]
Kereta mangsa yang terbabas ke Sungai Sentap ditarik keluar dengan bantuan trak tunda. - NSTP/ WAN NABIL NASIR
ALOR SETAR: Seorang lelaki ditemui lemas dalam kereta dipandunya yang terjunam ke Sungai Santap di Kampung Baru, Telaga Mas, di sini, hari ini.
Mangsa, Muhammad Noor Fadzil Mustapha, 25, meninggal dunia di lokasi kejadian dengan mayatnya dikeluarkan dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Komander Operasi JBPM Kedah, Penguasa Kanan Bomba II Abd Fataf Hamdan, berkata sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pokok Sena dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan jam 10.25 pagi.
"Maklumat awal diterima kejadian itu membabitkan dua mangsa, namun selepas pemeriksaan hanya seorang mangsa sahaja terbabit.
"Mangsa ditemui masih di tempat duduk pemandu dan sebaik dikeluarkan dia disahkan sudah meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM)," katanya.
Penduduk kampung, Mohd Subhi Mohd Shukor, 30, ketika ditemui berkata sebaik terbabas dan terjunam ke sungai, kereta itu tenggelam perlahan-lahan.
"Mangsa cuba menyelamatkan diri tetapi gagal sebelum ditemui lemas," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2024/10/1306078/lelaki-lemas-kereta-dipandu-terjunam-ke-sungai-santap
|