Langgar lari, penjual ubat tidak berdaftar direman empat hari
Oleh Zuhainy Zulkiffli - Oktober 3, 2024 @ 5:56pm
bh.com.my
BALIK PULAU: Penjual ubat tidak berdaftar direman selama empat hari di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, bagi membantu siasatan kes langgar lari membabitkan kereta dengan penunggang motosikal di Bayan Baru, Ahad lalu.
Majistret Chia Huey Ting membenarkan perintah reman berkenaan dikeluarkan terhadap lelaki yang berusia 36 tahun itu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Difahamkan, ujian saringan air kencing terhadap lelaki yang berasal dari Terengganu itu didapati positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.
Baru-baru ini, dilaporkan kejadian kemalangan di lampu isyarat berhampiran sebuah hospital swasta di Bayan Baru dan tular di media sosial.
Video berkenaan memaparkan kereta berwarna putih melanggar penunggang motosikal sebelum memecut laju kenderaannya.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, kejadian itu menyebabkan mangsa yang juga wanita berusia 24 tahun mengalami kecederaan di bahagian muka, belakang badan dan bahu serta patah gigi.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2024/10/1306219/langgar-lari-penjual-ubat-tidak-berdaftar-direman-empat-hari
|