'Sungai ini pusara tanpa nisan suami saya'
Oleh Zuliaty Zulkiffli - Oktober 3, 2024 @ 2:52pm [email protected]
Shubiah Roslina melawat Jambatan Kampung Empa, Derang, di Jitra selepas operasi mencari suaminya, Sabari Baharom, ditamatkan. - Foto BERNAMA
JITRA: "Saya datang ke Sungai Padang Terap, Kampung Empa ini buat kali terakhir sebelum pulang ke Kuala Lumpur kerana di sinilah jasad suami bersemadi.
"Buat sementara waktu, inilah pusara tanpa nisan suami saya, Sabari Baharom. Saya nak ucap selamat tinggal."
Reda dengan apa yang berlaku, Shubiah Roslina Shahibi, 57, berjanji akan datang semula jika berkelapangan atau mendapat makluman penemuan jasad Sabari, 62, kelak.
Beliau perlu pulang ke Kuala Lumpur hari ini untuk menyelesaikan pelbagai urusan selepas tiga hari berada di Kedah mengikuti perkembangan terkini operasi pencarian suaminya di Sungai Padang Terap.
"Kiranya di sinilah tanah kubur tempat suami saya bersemadi. Pencarian sudah dihentikan, maknanya kita harus terima apa yang berlaku.
"Andai ada keajaiban satu hari nanti, kita buatlah apa yang patut," katanya.
Shubiah Roslina ditemui ketika melakukan tinjauan di Sungai Padang Terap, Kampung Empa, Jalan Wang Tepus, di sini bersama sanak-saudaranya, hari ini.
Shubiah Roslina turut berpuas hati dengan tindakan pihak berkuasa menguruskan kes kehilangan suaminya dan memahami kemampuan mencari memandangkan kejadian sudah lama berlaku.
"Saya dimaklumkan dasar sungai itu ada pusar, jadi kalau diteruskan ia berbahaya kepada pasukan penyelamat sebelum operasi dihentikan.
"Sekuat mana pun kami rindu, kami sekeluarga menerima ketentuan Ilahi," katanya.
Operasi mencari Sabari yang bermula Isnin lalu ditamatkan semalam.
Sabari dilaporkan hilang sejak 4 September lalu dan kereta jenis Proton Waja dinaiki mangsa ditemui hangus terbakar di Belantik, Sik.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/10/1306108/sungai-ini-pusara-tanpa-nisan-suami-saya
|