Bekalan air di Seberang Perai Tengah, Selatan terganggu Jumaat ini
Oleh Nur Izzati Mohamad - Oktober 2, 2024 @ 4:26pm [email protected]
Lebih 40 kawasan di Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan akan berdepan gangguan bekalan air berjadual (SWSI) selama 24 jam bermula Jumaat ini. - Foto hiasan
BUTTERWORTH: Lebih 40 kawasan di Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan akan berdepan gangguan bekalan air berjadual (SWSI) selama 24 jam bermula Jumaat ini.
Sehubungan itu, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) menasihatkan kira-kira 118,093 pengguna di semua kawasan berkenaan menyimpan bekalan air secukupnya.
Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Datuk K Pathmanathan berkata pihaknya perlu menjalankan SWSI untuk membolehkan kerja-kerja membaiki paip bocor yang menjejaskan perkhidmatan bekalan air di daerah Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan.
"Padang Jumaat ini bermula jam 10 malam hingga keesokan hari (jam 10 malam Sabtu) saluran paip baharu sepanjang 180 meter (m) akan disambung dan ditauliahkan berhampiran kampus Politeknik Seberang Perai (PSP) di Permatang Pauh.
"Saluran paip baharu ini akan menggantikan bahagian saluran paip yang telah dirosakkan oleh kontraktor syarikat utiliti lain kira-kira dua minggu lalu.
"Kerja-kerja pembaikan dianggarkan kira-kira RM2 juta," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Pathmanathan berkata PBAPP akan menggerakkan lori tangki air dan tangki air statik di lokasi strategik di kedua-dua daerah terjejas.
Katanya, mereka yang terjejas boleh merujuk notis di halaman Facebook (FB) PBAPP.
"Bagaimanapun, kita menasihatkan supaya mereka menyimpan air secukupnya ketika kerja-kerja ini dilaksanakan," katanya.
Pathmanathan berkata PBAPP akan berusaha untuk menyelesaikan semua kerja air dan normalisasi bekalan air seperti yang dirancang.
"Kami juga akan menyediakan kemas kini berkala mengenai kemajuan kerja di tapak kerja melalui halaman FB kami.
"PBAPP memohon maaf atas segala kesulitan yang akan berlaku serta memohon kefahaman dan kerjasama yang baik daripada pengguna air di kedua-dua daerah terbabit," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/10/1305762/bekalan-air-di-seberang-perai-tengah-selatan-terganggu-jumaat-ini
|