Georgetown: Kepetahannya bercakap menggunakan bahasa Melayu dan loghat utara menjadikan wanita asal Thailand ini disenangi dan mendapat perhatian netizen di TikTok.
Malah, Fitree Dina, 32, yang berasal dari Songkla itu sering disangka sebagai orang tempatan kerana kelebihannya itu yang dikatakan bertutur seperti loghat utara.
Fitree berkata, dia berhijrah ke negara ini lebih tujuh tahun lalu selepas melanjutkan pelajaran di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang dan mengakui dia tidak fasih bercakap menggunakan bahasa Melayu sebelum ini.
Menurutnya, dia mengambil inisiatif belajar bahasa Melayu atas keinginan sendiri untuk memudahkannya bergaul dan berbual dengan orang tempatan selain mengakui wajar untuk dirinya mempelajari bahasa itu kerana berada di Malaysia.
"Ketika mula datang ke sini memang saya tak faham bahasa Melayu tetapi ambil inisiatif untuk belajar sebab kita datang ke sini jadi perlu untuk mempelajari bahasa Melayu dan saya anggap ia peluang terbaik untuk meningkatkan kemahiran.
"Selepas tamat pengajian saya bekerja di pejabat Konsulat Thailand di Pulau Pinang, jadi saya perlu menterjemahkan kedua-dua bahasa. Saya kemudiannya belajar bahasa Melayu dengan lebih serius seperti penulisan dan kosa kata yang betul serta rasmi," katanya ketika dihubungi di sini.
Terdahulu, Fitree mendapat perhatian di TikTok berhubung perkongsian video dirinya mengajar bahasa Thailand kepada orang tempatan dan ibu kepada seorang anak itu juga turut mengajar bahasa Melayu kepada orang Thailand.
Katanya, dia dan keluarganya asli berasal dari Thailand dan beragama Islam serta mengakui ibunya mempunyai keturunan Melayu dan bapa pula pernah belajar menyambung pengajian doktor falsafah di Malaysia menjadikannya berasa dekat di negara ini.
"Dulu saya pernah belajar bahasa Melayu setiap Sabtu tetapi tidak fasih dan sekarang saya sudah fasih. Saya juga suka kongsi video mengajar bahasa Thailand kerana ramai yang mahu belajar bahasa itu kerana selalu bercuti di sana.
"Selain itu, saya juga banyak pengikut dari Thailand yang mahu belajar bahasa Melayu terutama peniaga dan mereka juga minta saya buat video," katanya yang menetap di Relau di sini, dan berkahwin dengan lelaki tempatan.
Menurut Fitree, selain bahasa Thailand dan dialek Selatan Thai serta bahasa Melayu, dia yang juga anak ketiga daripada empat beradik itu turut mempunyai kemahiran bertutur menggunakan bahasa Arab sejak kecil.
"Di TikTok, saya mempunyai ramai pengikut seperti Malaysia, Singapura, Brunei, dan Thailand jadi saya ambil inisiatif membuat video pengajaran bahasa Thai dan Melayu kerana saya memang suka mengajar dan mahu memberi sesuatu yang baik kepada masyarakat.
"Sebagai keturunan Melayu, saya rasa bahasa Melayu sangat penting dan gembira melihat ramai orang Thailand berminat untuk belajar bahasa Melayu. Saya percaya belajar pelbagai bahasa adalah sesuatu yang baik dan banyak manfaat.
"Apabila kita belajar bahasa baru, kita bukan hanya belajar bahasa itu tetapi turut memahami budayanya. Dengan mempelajari bahasa baru, kita dapat menjalin persahabatan yang lebih baik antara Thailand dan Malaysia," katanya.