Hanya 30 minit daftar, perbaharui MyKad di KJH Pulau Pinang
Oleh Zuhainy Zulkiffli - September 28, 2024 @ 10:26pm [email protected]
Orang ramai berurusan dengan JPN di Karnival Jom Heboh (KJH) Stadium Negeri Batu Kawan. - NSTP/Danial Saad
BATU KAWAN: Daftar dan perbaharui kad pengenalan dalam tempoh 30 minit mungkin dirasakan tidak masuk akal.
Namun itulah perkhidmatan ditawarkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kepada masyarakat dan pengunjung di Karnival Jom Heboh (KJH) Pulau Pinang.
Timbalan Ketua Pengarah Pendaftaran Negara (Pengurusan), Faizah Jaarudin, berkata antara khidmat lain boleh didapati di reruai JPN ialah khidmat kaunter bas bergerak MEKAR JPN; semakan dan pendaftaran MyKid dan MyKad kanak-kanak usia 12 tahun; penggantian MyKad hilang dan semakan kematian serta lain-lain urusan.
Katanya, semua inisiatif itu bagi memudahkan orang ramai terutama individu mempunyai masa terhad selain sukar ke pejabat berikutan tinggal di luar bandar.
"Kaunter bergerak bagi pelbagai urusan itu didatangkan secara mobil iaitu bas Mekar (Menyemai Kasih Rakyat), sepanjang tiga hari berakhir esok.
"Kita terima hampir 500 sehari atas pelbagai urusan selain bagi mendapatkan maklumat perkhidmatan ditawarkan," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Terdahulu, Faizah menyampaikan taklimat mengenai perkhidmatan JPN di Studio Tonton Drama Sangat.
Antara fokus mengenai taklimat itu ialah penggunaan kad pengenalan palsu yang dilakukan individu tidak bertanggungjawab.
Faizah berkata, menggunakan kad pengenalan individu lain juga bermaksud 'kad palsu' dan tindakan itu menyalahi undang-undang.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/09/1304189/hanya-30-minit-daftar-perbaharui-mykad-di-kjh-pulau-pinang
|