Alor Setar: Mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di dua daerah di negeri ini meningkat kepada 164 orang (58 keluarga) setakat 5 petang.
Ia berbanding hanya 36 mangsa (10 keluarga) yang dilapor pada 8 pagi tadi, manakala dua PPS di Pendang ditutup sepenuhnya selepas banjir surut.
PPS yang masih aktif adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changlun yang terletak di daerah Kubang Pasu, menempatkan 121 mangsa (45 keluarga).
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kubang Pasu, Mohd Adenin Suhaimi berkata, kesemua mangsa adalah penduduk Kampung Belakang Sekolah Kebangsaan (SK) Dato Wan Kemara, Kampung Kubang Kayu, Kampung Paya Nongmi, Kampung Halban, kampung belakang T Hotel dan Kampung Paya Lantau.
Katanya, banjir berlaku akibat limpahan air Sungai Changlun/ Temin dan Sungai Laka.
Sementara itu di daerah Padang Terap, 43 mangsa (13 keluarga) ditempatkan di Masjid Aisyah Kampung Tanjung, Mukim Padang Terap Kanan.
Menurut Pegawai Pertahanan Awam Daerah Padang Terap, Roshidi Kassim berkata, mangsa berasal dari Kampung Tanjung Kanan yang terjejas akibat banjir kilat pagi tadi.