'Wartawan cilik' tak kekok beraksi dengan haiwan depan kamera
Oleh Zuhainy Zulkiffli - September 28, 2024 @ 5:17pm [email protected]
Muhammad Farish mencuba beraksi bersama ular sawa ketika mencuba nasib dalam ‘Pencarian Wartawan Cilik’ di reruai NSTP sempena Karnival Jom Heboh (KJH) Pulau Pinang - NSTP/DANIAL SAAD
BATU KAWAN: "Hai, saya Muhammad Farish Haikal Mohd Khairul Shukri melaporkan kepada anda dari Pet Zootopia."
Demikian kepetahan kanak-kanak berusia sembilan tahun dari Gelugor, di sini, yang menyertai Pencarian Wartawan Cilik di reruai kendalian The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) sempena Karnival Jom Heboh (KJH) Pulau Pinang di sini.
Ditemani ibunya, Fatin Alia Zamri, 31, Farish yang mengenakan 'vest' tertera logo NSTP kelihatan tidak kekok, malah berani sekali beraksi bersama ular sawa ketika merasai sendiri pengalaman menjadi seorang wartawan.
Fatin Alia berkata, anak sulungnya itu memang peminat haiwan dan petah bercakap.
"Dia menggemari haiwan eksotik termasuk ular dan tidak takut membiarkan reptilia itu melingkari lehernya.
"Dia sendiri mahu menyertai Pencarian Wartawan Cilik dan walaupun sedikit gementar, saya gembira kerana dia berani beraksi di hadapan orang ramai," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Sementara itu, Siti Hajar Syed Mohamad Khan, 32, dari Georgetown berkata, walaupun anaknya, Mohd Huzaiman Azlan Shah baru berusia lima tahun, namun tidak gementar beraksi di hadapan kamera.
"Bapanya (Azlan Shah Abdul Farouk, 31) berstatus kurang upaya bisu serta pekak dan Huzaiman sering menjadi 'jurubahasa' kepada bapanya.
"Mungkin kerana itu Huzaiman petah bercakap, namun saya doakan dia dapat menjadi individu yang berbakti kepada masyarakat," katanya lagi.
Antara kanak-kanak yang mencuba nasib dalam ‘Pencarian Wartawan Cilik’ ketika berkunjung ke reruai NSTP Pet Zootopia di Karnival Jom Heboh (KJH) Stadium Negeri Batu Kawan. - NSTP/DANIAL SAAD
Calon Top 20 ABPBH Ke-36, Wany Hasrita berkongsi kenangan bersama peminat sambil memegang ulang sawa ketika berkunjung ke reruai kendalian NSTP di Karnival Jom Heboh (KJH) Pulau Pinang. NSTP/DANIAL SAAD
Dalam pada itu, kemeriahan reruai NSTP dengan Pets Zootopia antara tarikan utama dimeriahkan dengan kehadiran penyanyi Wanie Hasrita yang turut terbabit dalam jelajah Anugerah Bintang Popular (ABPBH) 2024.
Malah, penyanyi itu menyahut cabaran peminat memegang ular sawa.
Pengurus Pembangunan Perniagaan dan Projek Khas NSTP, Tengku Kaifimirza Tuan Cherit@tengku Hamzah, berkata 10 peserta kanak-kanak menyertai Pencarian Wartawan Cilik pada hari kedua KJH Pulau Pinang.
"Dijangkakan 30 orang bakal menyertainya sehingga malam ini," katanya lagi.
KJH berlangsung tiga hari bermula semalam menampilkan pelbagai program, aktiviti dan jualan, malah pengunjung berpeluang beramah mesra bersama artis sempena jelajah ABPBH.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/09/1304088/wartawan-cilik-tak-kekok-beraksi-dengan-haiwan-depan-kamera
|