Banjir di Kedah: 1 PPS baharu dibuka, mangsa banjir meningkat
Oleh Zuliaty Zulkiffli - September 28, 2024 @ 9:26am [email protected]
Sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changlun, di sini, menempatkan 36 mangsa daripada 10 keluarga berikutan banjir kilat malam tadi. - Foto APM
CHANGLUN: Sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changlun, di sini, menempatkan 36 mangsa daripada 10 keluarga berikutan banjir kilat malam tadi.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kubang Pasu Kapten (PA) Mohd Adenin Suhaimi berkata, PPS itu dibuka jam 11.43 malam selepas rumah penduduk Kampung Nangmah dinaiki air.
"Jumlah itu membabitkan sembilan lelaki dewasa, 11 wanita dewasa, 15 kanak-kanak dan seorang bayi.
"Operasi pemindahan mangsa turut disertai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Dan penghulu," katanya ketika dihubungi hari ini.
Dalam pada itu, melalui maklumat Info Bencana JKM melaporkan, jumlah mangsa banjir di Kedah meningkat semula apabila sebuah PPS dibuka di daerah Kubang Pasu manakala dua PPS lagi masih kekal di Pendang.
Ini menjadikan jumlah keseluruhan mangsa banjir di Kedah adalah seramai 243 mangsa daripada 59 keluarga yang ditempatkan di tiga PPS di dua daerah setakat 8 pagi hari ini.
Mangsa banjir di dua PPS di Pendang adalah seramai 207 mangsa daripada 49 mangsa manakala di Kubang Pasu pula seramai 36 mangsa daripada 10 keluarga di sebuah PPS di daerah itu setakat ini.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/09/1303868/banjir-di-kedah-1-pps-baharu-dibuka-mangsa-banjir-meningkat
|