CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 4188|Reply: 0

Cabaran Malaysia kembali hangat di Paris 2024

[Copy link]
Post time 8-8-2024 09:23 AM | Show all posts |Read mode


Mohamad Aniq ketika beraksi dalam acara angkat berat lelaki kategori 61kg pada Sukan Olimpik Paris 2024, di South Paris Arena 6 semalam. - Gambar BERNAMA
Daripada Vikneswaran Raman
PARIS: Cabaran Kontinjen Malaysia di Sukan Olimpik Paris 2024 kembali hangat pada hari ke-12 temasya dengan wira wirawati negara beraksi dalam empat jenis sukan semalam.

Badang negara Mohamad Aniq Kasdan hampir mencipta sejarah untuk menghadiahkan pingat pertama Malaysia dalam sukan angkat berat, namun terpaksa berputih mata apabila terlepas podium dengan perbezaan satu kilogram (kg).

Mohamad Aniq menamatkan saingan di tempat keempat mencatatkan rekod kebangsaan baharu dengan angkatan keseluruhan 297kg iaitu 1kg mengatasi rekod kebangsaannya, berbanding pemenang pingat gangsa dari Amerika Syarikat Hampton Morris yang melakukan angkatan 298kg (126kg, 172kg) di South Paris Arena 6.

Bagi snatch, Mohamad Aniq berjaya meleburkan rekod kebangsaan 129kg milik Muhamad Aznil Bidin, apabila mengangkat bebanan 130kg, namun beliau hanya berjaya dalam dua percubaan angkatan 167kg bagi clean & jerk.

Mohamad Aniq sebelum ini memegang rekod kebangsaan acara clean & jerk dengan angkatan 170kg dan keseluruhan 296kg.



Azizulhasni ketika beraksi acara basikal trek pecut lelaki pada Sukan Olimpik Paris 2024 di Saint-Quentin-en Yvelines National Velodrome semalam. - Gambar BERNAMA

Sementara itu, juara dunia keirin 2017 Datuk Mohd Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom menamatkan cabaran dalam acara pecut berbasikal trek masing-masing di pusingan 1/8 dan 1/32 di Saint-Quentin-en-Yvelines National Velodrome.

Terdahulu, Mohd Azizulhasni memulakan kempen di Paris 2024 dengan memperbaharui rekod kebangsaan miliknya 9.402s untuk menduduki tempat ke-10 pusingan kelayakan berbanding 9.523s dilakukannya pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) di Nilai tahun lepas.

Pelumba wanita Nurul Izzah Izzati Mohd Asri turut terlepas suku akhir acara keirin wanita apabila cabarannya berakhir pada pusingan pertama.

The Pocket Rocketman dan Muhammad Shah Firdaus seterusnya akan turun beraksi dalam acara utama mereka, keirin bermula Sabtu ini manakala Nurul Izzah Izzati Mohd Asri dalam acara pecut wanita bermula Jumaat.

Di Pusat Akuatik, penerjun berpengalaman Nur Dhabitah Sabri mengesahkan slot ke separuh akhir acara 3 meter (m) papan anjal wanita yang akan berlangsung esok (8 Ogos).

Atlet berusia 25 tahun itu bermula cemerlang pada dua terjunan pertama untuk menamatkan pusingan kelayakan di kedudukan ke-12 dengan mengutip 283.65 mata keseluruhan, dengan hanya 18 penerjun teratas mara ke pusingan seterusnya.

Pemain golf wanita Ashley Lau pula membuka saingan pusingan pertama degan agak baik apabila melakukan par 72 untuk terikat di kedudukan ke-13 dengan 13 pemain lain.

Cabaran Malaysia hari ini (8 Ogos) akan diteruskan oleh Nur Dhabitah dan Ashley Lau pada pusingan kedua. - BERNAMA


https://www.utusanborneo.com.my/2024/08/08/cabaran-malaysia-kembali-hangat-di-paris-2024
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

21-9-2024 11:25 AM GMT+8 , Processed in 0.038638 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list