Sungai Petani: Seorang pengawal keselamatan sekolah didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan membuat penghantaran komunikasi jelik terhadap agamawan dan pendakwah pada November lalu.
Tertuduh Abdul Hadi Fadzil, 49, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Roslan Hamid.
Mengikut pertuduhan, Abdul Hadi didakwa melalui laman sosial Facebook menggunakan nama profil 'Abdul Hadi Ben Fadzil' secara sedar membuat dan memulakan penghantaran menggunakan komunikasi yang jelik sifatnya dengan niat menyakiti hati orang lain.
Antara hantaran itu ialah 'Engku Ahmad Fadzil - The Original Page Kesian .. tua2 pn Bodo, definasi syrik pn x tau ke.. mcm ni punya bangang pn Jabatan Agama Islam Perak dan Pahang lantik jadi AJK Majlis Fatwa ke..Nak saman eik .. silakan aku tgu hg pya writ saman .. x perlu buang duit hantar LOD'.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Bandar Laguna Merbok, Sungai Petani pada jam 12.15 tengah hari, 14 November 2023.
Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah seksyen 233(3) akta yang sama.
Jika sabit kesalahan tertuduh boleh didenda maksimum RM 50,000 atau dipenjara maksimum setahun tahun atau kedua-duanya sekali.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Hafiz Hashim, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Muhammad Hafiz memohon mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM15,000 ke atas tertuduh, namun tertuduh merayu agar jaminan dikurangkan kerana tidak mempunyai wang simpanan yang banyak.
Hakim kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.
Mahkamah menetapkan tarikh 2 September depan untuk proses serahan dokumen dan melantik peguam.