Lelaki warga emas maut selepas motosikal yang dinaiki bersama cucunya berusia tiga tahun terbabit kemalangan di Jalan Kuala Nerang, Kampung Sungai Durian, Pokok Sena, hari ini. NSTP/Ihsan BOMBA
ALOR SETAR: Seorang lelaki warga emas berusia 79 tahun maut manakala cucu perempuannya yang berusia tiga tahun cedera selepas motosikal yang dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Kuala Nerang, Kampung Sungai Durian, Pokok Sena, di sini hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pokok Sena, Pegawai Bomba Tinggi II Bakar Saad, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu pada jam 9.16 pagi.
Beliau berkata, sepasukan anggotanya dari BBP Pokok Sena yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Izuan Azmi tiba di lokasi tidak lama kemudian.
"Setiba di lokasi, kami mendapati kemalangan itu membabitkan sebuah kereta Nissan Almera dengan sebuah motosikal Yamaha Ego yang dinaiki warga emas bersama cucunya itu.
"Warga emas terbabit disahkan meninggal dunia oleh pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) manakala dua mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk rawatan," katanya.
Bakar berkata, operasi tamat pada jam 10.29 pagi.