CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 7154|Reply: 0

[Kedah] Empangan kering, penduduk tidak lepas peluang cari lokan

[Copy link]
Post time 30-7-2024 09:50 AM | Show all posts |Read mode
Empangan kering, penduduk tidak lepas peluang cari lokan


Oleh Noorazura Abdul Rahman - Julai 30, 2024 @ 9:24am [email protected]





Penduduk tidak melepaskan peluang mencari lokan ketika air Tasik Pedu surut akibat cuaca panas melampau. - Foto NSTP/Wan Nabil Nasir





KUALA NERANG: Paras Empangan Pedu yang semakin menyusut menyebabkan perkampungan lama yang dikenali sebagai Kampung Mong Gajah kembali timbul sejak hampir sebulan lalu.

Tinjauan di kampung itu mendapati kawasan itu mula dikunjungi orang ramai dan ada yang mengambil kesempatan mencari lokan.

Menurut Halimah Razak, 38, dia sering mencari lokan di kawasan itu selepas air surut sejak tiga minggu lalu.

Katanya, dia serta jiran sekampung dari Kampung Kota Aur, Sik sanggup menunggang motosikal kira-kira 20 minit untuk masuk ke kawasan empangan itu agar tidak terlepas peluang untuk mencari lokan sebanyak mungkin.

"Lokan ini akan berada di persisiran kawasan yang masih ada air, saya turut bawa anak saya Farisha Ismail berusia empat tahun untuk cari lokan di sini, dialah yang paling semangat dan teruja setiap kali saya ajak datang ke sini.

"Selalunya tidak sampai setengah jam, kami sudah boleh penuhkan satu plastik beg beras lima kilogram (kg), cuma kami perlu berhati-hati kerana kawasan di sini berselut," katanya ketika ditemui di empangan berkenaan petang semalam.

Seorang lagi penduduk Kampung Kota Aur, Indon Mad Daya, 71, lokan yang dicari akan dibawa pulang untuk dijadikan antara menu lauk kegemarannya.

Katanya, lokan tasik berkenaan sangat sedap dimasak lemak cili api atau rendang.

"Selepas pulang selalunya saya akan bersihkan dahulu lokan dan kopek isinya, kemudian saya akan masak rendang atau lemak, lokan ini juga sedap jika direbus dan dicicah dengan air asam.

"Terpulang kepada cita rasa masing-masing, rasanya hampir sama seperti kerang dan siput lain, walaupun saiz cengkerangnya besar namun isi di dalamnya kecil, ia tetap sedap dimakan," kata nenek 15 orang cucu itu.

Seorang lagi penduduk, Siti Rahmah Mad Doyah, 62, berkata dia tidak melepaskan peluang untuk mencari lokan di kawasan itu kerana ia akan 'muncul' beberapa tahun sekali apabila air empangan di kawasan itu kering.

Sebagai itu tunggal, katanya, dia menganggap aktiviti mencari lokan sebagai riadah sambil menikmati keindahan alam semula jadi.

"Rugi kalau tak datang ke sini ketika air tasik kering, bukan selalu akan dapat peluang seperti ini, mungkin selepas ini tiga atau empat tahun pula saya dapat jejak kaki ke sini," katanya.

Mengikut rekod di laman web Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) hari ini, paras air di Empangan Muda terus menyusut dan hanya tinggal 8.44 peratus manakala Empangan Pedu sebanyak 40.28 peratus dan Empangan Ahning 81.97 peratus dengan purata keseluruhan takungan air bagi ketiga-tiga empangan adalah 44.63 peratus.







Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

10-1-2025 02:57 AM GMT+8 , Processed in 0.478678 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list