KULIM: Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) belum mengeluarkan sebarang lesen pembalakan bagi kompartmen 15, 42 dan 43 di Hutan Simpan Gunung Bongsu, di sini.
Jurucakapnya berkata, kawasan terbabit belum dibersihkan bagi tujuan pembangunan ladang hutan kerana jabatan itu masih dalam proses penyediaan Rancangan Pengurusan Ladang Hutan (RPLH).
Kelulusan diperoleh 2014
Beliau mengesahkan permohonan pembalakan di kawasan seluas 500 hektar di gunung itu diluluskan pada 14 Disember 2014 melalui Mesyuarat Jawatankuasa Tetap Hasil Bumi Negeri Kedah kepada Perbadanan Menteri Besar Kedah (PMBKed).
Katanya, projek ladang hutan juga mendapat laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada 25 Jun 2021 dan JPNK akan memastikan aktiviti pembalakan memberi impak alam sekitar minimum sekiranya dilaksanakan kelak.
"Pihak jabatan akan bekerjasama dengan agensi teknikal lain memantau kawasan ini sekiranya ia dibangunkan nanti.
"Dalam memastikan impak alam sekitar yang minimum, aktiviti pembalakan dirancang dijalankan secara berfasa," katanya.
Mengikut perancangan, beliau berkata, pemaju perlu menjalankan pembalakan fasa satu terlebih dahulu dan kemudian menanam semula sepenuhnya pokok di kawasan yang dibalak dengan spesies Ladang Hutan (Albiziafalcataria @ Batai) sebelum fasa berikutnya dibenarkan untuk pembalakan.