GEORGETOWN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang mengeluarkan 20 Notis Bertulis (NB) menerusi Ops Kesan 2.0 yang dijalankan sejak 8 Jun hingga semalam.
Pengarahnya, S Jegan, berkata sebanyak 42 premis diperiksa dalam operasi yang dilaksanakan bagi mengenal pasti kenaikan harga barangan atau perkhidmatan berikutan penyelarasan subsidi diesel.
Katanya, maklumat yang direkod akan dianalisis sama ada wujud aktiviti mencatut (mengambil keuntungan yang tidak munasabah) atau tidak.
"Sekiranya berlaku, tindakan tegas akan diambil mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011," katanya dalam kenyataan hari ini.
Ops Kesan 2.0 dilaksanakan secara berfasa bagi memantau kesan penyasaran subsidi diesel dengan fokus bagi membendung risiko pencatutan.
Fasa pertama dilaksanakan mulai 20 Mei hingga 31 Mei, fasa kedua bermula dari tarikh pelaksanaan fleet card Sistem MySubsidi Diesel di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).
Jegan berkata, pihaknya juga bersedia untuk mengambil tindakan terhadap aduan kenaikan harga pada kadar tidak munasabah, terutama kepada mereka yang mendapat manfaat penyasaran subsidi diesel dan juga peniaga tidak layak menerima subsidi diesel sebelum pelaksanaannya.
Beliau turut memaklumkan, pemeriksaan mendapati bekalan asas di Pasar Pagi Ban Busuk di Penanti Bukit Mertajam dan premis sekitarnya mencukupi bagi menampung permintaan pengguna setempat dan tiada masalah terputus bekalan sempena Aidiladha esok.
"Hasil pemeriksaan terhadap 31 premis mendapati bekalan asas, minyak masak dan telur ayam ada di pasaran dan dijual tidak melebihi harga kawalan.
"Tidak berlaku kenaikan harga barangan semasa pemeriksaan dijalankan, tanda harga dipamerkan dengan jelas, manakala alat timbang dan sukat masih dalam tempoh sah," katanya.