CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1654|Reply: 0

[Sabah] PPS pamer prestasi konsisten, bayar dividen interim RM10 juta

[Copy link]
Post time 12-6-2024 08:36 PM | Show all posts |Read mode


MOU: Hajiji (tengah) menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) untuk 'Cashless Tuaran' di antara wakil PPS dan UOB pada majlis itu.

TUARAN: Prestasi Perbadanan Pinjaman Sabah (PPS) yang amat konsisten membolehkannya membayar dividen interim sebanyak RM10 juta bagi tahun kewangan 2023 pada Mei lepas.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, ia juga tanda kecemerlangan PPS sebagai salah satu agensi kerajaan negeri yang membayar dividen kepada kerajaan, dalam penyampaian perkhidmatan mereka.

Beliau amat berpuas hati dengan langkah dan inisiatif PPS merangka semula polisi pembiayaan sedia ada, mewujudkan produk yang sesuai untuk pelbagai golongan dan mewujudkan lebih banyak pusat perkhidmatan pelanggan serta pejabat bergerak.

"Saya berharap dengan adanya pusat perkhidmatan pelanggan itu, perkhidmatan dan fasiliti kewangan PPS dapat memudahkan urusan dan memanfaatkan penduduk, termasuk di daerah Tuaran serta daerah-daerah yang berhampiran.

"Semua inisiatif ini adalah sejajar dengan Hala Tuju dan pemboleh daya Sabah Maju Jaya (SMJ): Kemudahan Kewangan serta Keberkesanan dan Kecekapan Penyampaian Perkhidmatan," katanya.

Beliau berkata demikian  pada Majlis Perasmian Program 'Cashless Tuaran' dan Pusat Perkhidmatan Pelanggan PPS Tuaran di sini hari ini.

Hajiji berkata, program 'Cashless Tuaran' adalah satu langkah yang sesuai dengan sasaran kerajaan digital ke arah transaksi kewangan tanpa tunai, dan inisiatif kerajaan yang lebih besar di bawah Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia dan Blueprint Sektor Kewangan 2022-2026.

Menurutnya, ia bertujuan mempercepatkan penerapan teknologi digital dan mendorong transformasi ekonomi dan kewangan di seluruh negara.

Katanya, transaksi tanpa tunai menawarkan banyak manfaat, termasuk kaedah pembayaran yang lebih mudah, cepat, dan selamat.

Jelasnya, inisiatif berkenaan bukan sahaja memudahkan transaksi harian, tetapi juga menyelesaikan isu kekurangan mesin ATM di kawasan luar bandar.

"Program ini juga akan meningkatkan pengurusan kewangan untuk peniaga, menyediakan peluang pembangunan perniagaan baharu, dan memperbaiki pengurusan inventori.

"Kerajaan negeri sedang giat dalam hal itu demi kesejahteraan rakyatnya, serta membawa pembangunan dan kemajuan khususnya berkaitan teknologi terkini kepada rakyat di bandar, luar bandar dan pedalaman," katanya.

Beliau berkata, dalam memastikan pembayaran tanpa tunai memberi manfaat kepada kesejahteraan rakyat sejagat, kerajaan Pusat dan negeri sentiasa prihatin untuk memastikan prasarana komunikasi tersedia.

Katanya, ia termasuklah usaha dipergiatkan untuk menyiapkan segera sebanyak 398 menara telekomunikasi di seluruh Sabah melalui Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).

Katanya, pelbagai inisiatif diumumkan seperti penggunaan tandatangan digital dan sijil digital untuk urusan rasmi kerajaan dan penghasilan sijil-sijil, lesen atau permit oleh agensi-agensi kerajaan negeri.

Menurutnya, penggunaan tandatangan digital dan sijil digital juga adalah salah satu usaha untuk mengurangkan perkhidmatan secara fizikal melalui kaunter.

Hajiji berkata, sistem-sistem aplikasi kerajaan negeri akan dilengkapi dengan perkhidmatan penerimaan pembayaran dalam talian dan satu portal penerimaan bayaran yang dinamakan 'BayuPay' akan dilancarkan dalam masa terdekat.

"Selain akan memulakan penggunaan konsep 'Electronically Know Your Customer' (eKYC) iaitu semua pendaftaran kepada perkhidmatan kerajaan tidak memerlukan orang awam hadir secara fizikal ke pejabat kerajaan bagi memohon bantuan atau mendapatkan perkhidmatan.

"Kerajaan negeri melalui Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (KSTI) terus komited dalam menyediakan infrastruktur digital di kawasan luar bandar di Sabah dalam usaha menyokong dan mempercepatkan penggunaan perkhidmatan kewangan digital, di samping memperkukuhkan inklusiviti di Sabah.

"Sebanyak 300 lokasi di seluruh Sabah dipasang dengan teknologi VSAT Starlink melalui SabahNet agar akses kepada perkhidmatan kewangan di luar bandar boleh diperluaskan.

"Sabah Net kini bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia (BNM) serta bank-bank di bawahnya sebagai sebahagian daripada inisiatif pemboleh kewangan digital SabahNet kepada masyarakat kurang mendapat perkhidmatan," jelasnya.

Menurutnya, ia adalah untuk menggalakkan akses kepada perkhidmatan kewangan, di samping merapatkan jurang digital antara kawasan bandar dan luar bandar serta mempromosikan literasi kewangan, sejajar dengan hala tuju SMJ dalam usaha untuk memperkasakan digital ekonomi.

Beliau berharap Program 'Cashless Tuaran' inisiatif kerjasama PPS dan United Overseas Bank (UOB) yang bertujuan mengisytiharkan Daerah Tuaran sebagai wilayah tanpa tunai dengan mendidik masyarakat mengenai penggunaan pembayaran atas talian dan QR, dapat mencapai matlamat dan mendapat sokongan daripada penduduk daerah itu.

"Ini adalah antara inisiatif yang amat baik dan saya berharap PPS dan UOB akan sentiasa merangka dan memperluaskan lagi inisiatif pembayaran tanpa tunai ini kekawasan-kawasan lain di Sabah," katanya.


Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

29-6-2024 06:11 AM GMT+8 , Processed in 0.051212 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list