Georgetown: Kerja pembersihan bangunan lama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (P) Al-Mashoor, di sini, bagi penubuhan sekolah agama Islam antarabangsa dijangka bermula bulan depan.
Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang Datuk Dr Mohamad Abd Hamid berkata, pada masa ini syarikat bertanggungjawab sudah dipilih bagi pelaksanaan projek berkenaan.
"Jika tiada halangan, kerja pembersihan akan dijalankan pada Julai atau Ogos.
"Tapak dan bangunan itu di bawah Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) menggunakan sejumlah dana yang diperuntukkan oleh majlis," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mohamad berkata demikian susulan kunjungan Yayasan Islam Pulau Pinang (YIPP) ke pejabat MAINPP berhubung penubuhan sekolah agama Islam antarabangsa itu.
Exco Pembangunan Agama Islam, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Perpaduan Masyarakat negeri itu, berkata sekiranya berjalan lancar, sekolah berkenaan bakal beroperasi pada tahun depan.
"Sekolah antarabangsa ini kalau tidak silap saya mengikut syarat iaitu akan dimulakan membabitkan seramai 50 pelajar.
"Sekarang kita nak siapkan dahulu dan ia akan mengambil masa. Kali terakhir kita melawat bangunan sekolah ini ialah pada Februari lalu," katanya.
Tinjauan Harian Metro, semalam mendapati kawasan sekolah itu dipenuhi semak-samun, serpihan kaca, kabel elektrik dan peralatan rosak.
Disiarkan pada: Jun 12, 2024
@ 11:08am