Nibong Tebal: Kerajaan tidak pernah membatalkan subsidi bahan api termasuk diesel yang mencecah RM60 bilion setahun, sebaliknya mengalihkannya dengan memberi terus kepada rakyat.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, sebelum ini subsidi terbabit dibayar kepada beberapa syarikat minyak saban tahun.
Menurutnya, ia berbeza dengan tindakan kerajaan ketika ini yang terus mengagihkannya termasuk kepada keluarga yang menikmati pembiayaan serendah RM200 hingga RM500 sebulan.
"Sekarang subsidi RM60 bilion harga minyak mentah AS$80 (setong) saya sebut dulu, kalau harga minyak mentah rendah dan subsidi itu masih lagi boleh ditangguh, kenapa nak hapuskan subsidi?
"Bila subsidi sudah jadi RM80 bilion, nak buat sekolah tak boleh, nak naik gaji tak boleh dan subsidi menyebabkan harga (minyak) yang rendah itu, yang dapatnya orang kaya-kaya, bukankah lebih baik kita alihkan subsidi itu bukanlah kita batalkan.
"Alih subsidi maksudnya subsidi terus diberi... diesel kenderaan awam, lori kecil, pikap, peniaga semua dapat, malah orang biasa gaji RM100,000 ke bawah setahun pun dapat atau kita agihkan kepada keluarga biar dapat subsidi minyak tiap-tiap bulan RM200, RM300, RM400 (atau) RM500," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Perpaduan PRK N20 Sungai Bakap di Bilik Gerakan Utama Perpaduan di Sungai Bakap, malam tadi.
Terdahulu, klip video seorang individu diajak naik ke pentas selepas berteriak mempersoalkan mengapa harga minyak tidak turun ketika Pengarah Pilihan Raya Perpaduan yang juga Naib Presiden PKR itu berucap tular di media sosial.
Rafizi dalam pada itu turut menyuarakan keyakinan bahawa rakyat akan dapat melihat dengan lebih baik bagaimana peruntukan subsidi disalurkan kepada isi rumah berbanding terus dibayar kepada syarikat minyak.
"Zaman minyak dulu yang harga RM1.90 tahu tak berapa harga minyak mentah masa itu? Tahu tak berapa subsidi yang kerajaan kena belanjakan? Sikit saja, masa itu subsidi kena belanja RM3 bilion daripada bajet RM200 bilion lebih.
"Daripada orang kata minyak murah, tapi sebenarnya RM60 bilion pergi kepada syarikat-syarikat minyak dalam keadaan negara sudah tak mampu untuk tanggung subsidi macam itu... dulu RM3 bilion, sekarang RM60 bilion," katanya.
Sebelum ini, Rafizi pernah dilaporkan berkata, kerajaan dijangka menanggung subsidi lebih RM100 bilion setahun sekiranya harga minyak mentah dunia mencecah AS$100 setong, melainkan reformasi dilaksanakan terhadap sistem subsidi.