KEPALA BATAS: Kementerian Pendidikan (KPM) menjalankan siasatan berhubung kes murid Tahun Lima yang diserang strok haba selepas dipaksa seorang guru berdiri di bawah matahari, baru-baru ini.
Menterinya, Fadhlina Sidek, berkata kes itu kini di peringkat polis dan menyerahkan kepada pihak berkuasa itu bagi mengambil tindakan lanjut.
"Untuk kes berkenaan (murid didenda berdiri bawah matahari) kita sudah serahkan kepada polis untuk siasat dan mengambil tindakan selanjutnya.
"Bagi peringkat KPM pula, kita laksanakan siasatan mengikut tatakerja dan tatacara ditetapkan," katanya ketika ditanya berhubung perkembangan siasatan kes berkenaan.
Terdahulu, Fadhlina ditemui pada Program Hari Keluarga Kelab Media Mutiara Pulau Pinang sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) di sebuah taman tema air di Bertam,di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal, berkata Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) berkaitan turut melakukan siasatan berhubung kes itu mengikut prosedur operasi standard (SOP) serta tatakerja yang ditetapkan.
Media sebelum ini melaporkan, seorang kanak-kanak berusia 11 tahun itu kini mempunyai masalah kesihatan berkaitan saraf dipercayai akibat strok haba kesan berjemur selama tiga jam di tengah padang di bawah terik cahaya matahari.
Susulan insiden itu, Gerakan Guaman Rakyat (GEGAR) menggesa Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Hulu Langat mengambil tindakan segera terhadap pihak sekolah dan guru terbabit.
Fadhlina sebelum ini memberi jaminan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak bertanggungjawab dalam kes murid selain menyatakan pendirian KPM yang tidak akan berkompromi dengan sebarang salah laku yang boleh menjejaskan kesejahteraan dan keselamatan warga sekolah.