View: 8860|Reply: 0
|
Fokus Euro 2024: England cuba tamatkan kemarau
[Copy link]
|
|
Skuad England selepas aksi persahabatan menentang Iceland di Stadium Wembley yang juga perlawanan persediaan sebelum bermulanya Euro 2024. - Reuters
LONDON: Saingan Kumpulan C menjadi tumpuan dengan England yang memegang status antara kuasa besar bola sepak dunia selain hadir ke Euro 2024 selaku naib juara edisi 2020.
Pasukan kendalian Gareth Southgate yang berada di ranking keempat dunia dilihat tidak berdepan masalah untuk melepasi saingan peringkat kumpulan yang dibarisi pasukan lebih bawah iaitu Denmark (ranking 21), Serbia (33), dan Slovenia (57).
Skuad The Three Lions bagaimanapun belum pernah meraih gelaran juara Kejohanan Eropah dengan pencapaian terbaik mereka adalah muncul naib juara pada edisi terakhir empat tahun lalu selain tempat ketiga pada 1968 dan 1996.
Kehadiran Slovenia turut mencuri tumpuan dalam Kumpulan C yang mana mereka menamatkan penantian selama 24 tahun untuk kembali beraksi di pentas kejohanan tertinggi Eropah.
Kali terakhir mereka beraksi di Euro adalah pada edisi 2000 yang mana mereka terkandas di peringkat kumpulan.
Kumpulan C
• England
• Denmark
• Serbia
• Slovenia
Perlawanan Tumpuan
Slovenia mln Denmark
Aksi sulung buat pasukan Slovenia di pusingan akhir Kejuaraan Eropah selepas 24 tahun menanti untuk kembali ke kejohanan itu.
Serbia mln England
England tampil selaku antara pasukan pilihan untuk mencabar kejuaraan selepas muncul naib juara pada edisi 2020.
Denmark mln England
Denmark dianggap sebagai pencabar terkuat buat pasukan ranking keempat dunia, England dalam Kumpulan C berdasarkan ranking mereka yang berada di kedudukan 21 dunia.
England
Ranking FIFA: 4
Pemain tumpuan: Harry Kane, Jude Bellingham, Bukayo Saka
Pengendali: Gareth Southgate
Pencapaian terbaik: Naib juara 2020
Kekuatan: Pengendali England, Gareth Southgate memiliki banyak pilihan pemain bintang yang boleh membentuk skuad mantap buat The Three Lions.
Harry Kane menjadi pemain bola sepak yang lengkap selain beberapa pemain dari kelab besar terutama Manchester City yang sudah terbiasa dengan tekanan tinggi dalam memburu kejuaraan.
Memiliki pemain seperti Bukayo Saka, Phil Foden dan Jude Bellingham, England mempunyai trio perancang tengah yang hebat di belakang Kane.
Maka, tidak hairan mengapa England diletakkan sebagai calon pilihan untuk muncul juara selepas sekadar berpuas hati dengan gelaran naib juara pada 2020.
Kelemahan:
Bahagian pertahanan kerap menjadi masalah buat England dalam kejohanan utama dengan krisis kecederaan membelenggu skuad itu.
Bek kiri, Luke Shaw yang hampir tidak bermain musim ini selepas mengalami kecederaan. Malah penggantinya, Kieran Trippier yang beraksi di bahagian kanan, namun boleh bermain sebagai bek kiri mengalami kecederaan pada pertengahan musim ini.
Pemain seperti John Stones juga mempunyai musim yang dilanda kecederaan tetapi dia dijangka boleh bermain untuk kejohanan itu.
Denmark
Ranking FIFA: 21
Pemain tumpuan: Rasmus Hojlund, Joakim Maehle, Christian Eriksen
Pengendali: Kasper Hjulmand
Pencapaian terbaik: Juara 1992
Kekuatan:
Denmark menjadi antara pasukan yang mampu melakar kejutan dengan mereka pernah merangkul kejuaraan pada 1992.
Aksi pasukan kendalian Kasper Hjulmand menarik untuk ditonton dalam beberapa tahun kebelakangan ini dengan corak hantaran yang cemerlang selain pantas dalam melakukan serangan balas.
Kreativiti dan ancaman mereka menerusi situasi bola mati menjadi salah satu yang terbaik dalam kalangan pasukan Eropah.
Kelemahan:
Bagaimanapun tahap keberkesanan pasukan Denmark ketika bertahan agak membimbangkan yang mana mereka mudah terperangkap dengan serangan balas pasukan lawan.
Serbia
Ranking FIFA: 33
Pemain tumpuan: Alexander Mitrovic, Dusan Tadic, Sergej Milinkovic Savic
Pengendali: Dragan StojkovicPencapaian terbaik: Naib juara 1960, 1968
Kekuatan:
Bahagian tengah dan serangan menjadi antara kekuatan utama pasukan Serbia. Gandingan Dusan Tadic dan Milinkovic Savic adalah salah satu yang terbaik dalam kejohanan.
Skuad Dragan Stojkovic juga memiliki keupayaan yang baik dalam menghasilkan jaringan menerusi situasi bola mati.
Kelemahan:
Sama dengan pasukan lain dalam Kumpulan C, Serbia turut berdepan masalah di bahagian pertahanan. Selain Nikola Milenkovic dari Fiorentina, mereka tidak mempunyai pertahanan tengah terbaik yang bermain dalam lima liga teratas.
Pemain seperti Filip Kostic dan Andrija Zivkovic lebih kepada pemain sayap yang kurang fokus kepada pertahanan, sekali gus menyebabkan barisan belakang mereka mudah lemah.
Slovenia
Ranking FIFA: 57
Pemain tumpuan: Benjamin Sesko, Adam Cerin, Andraz Sporar
Pengendali: Matjaz Kek
Pencapaian terbaik: Peringkat kumpulan 2000
Kekuatan:
Slovenia memiliki jentera serangan yang baik dalam merobek gawang lawan.
Penyerang RB Leipzig, Benjamin Sesko akan terdedah kepada pemantauan lebih banyak kelab melihat persembahannya di Euro 2024.
Ia sepatutnya menjadi motivasi buat bintang muda itu yang berada dalam prestasi menakjubkan untuk kelabnya baru-baru ini.
Selain itu, mereka turut memiliki salah seorang penjaga gol terbaik dunia, Jan Oblak yang mampu mengecewakan penyerang lawan.
Kelemahan:
Meskipun memiliki penjaga gol bertaraf dunia, namun Slovenia dilihat tidak memiliki barisan pertahanan yang terbaik untuk menghadapi pasukan kuat seperti England dan Denmark.
https://www.bharian.com.my/sukan ... ba-tamatkan-kemarau |
|
|
|
|
|
|
| |
|