CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 4059|Reply: 0

[Pulau Pinang] Draf Pindaan Akta Perubatan 1971 dalam semakan AGC- Dzulkefly

[Copy link]
Post time 7-6-2024 03:01 PM | Show all posts |Read mode
Draf Pindaan Akta Perubatan 1971 dalam semakan AGC- Dzulkefly


Oleh Siti Aminah Mohd Yusof - Jun 7, 2024 @ 2:47pm [email protected]




Dzulkefly (tengah) beramah mesra bersama pesakit ketika mengadakan lawatan ke Klinik Kesihatan Air Putih di Balik Pulau hari ini. - NSTP/MIKAIL ONG





BALIK PULAU: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan draf Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Akta Perubatan 1971 (Akta 50) yang bertujuan menyelesaikan kemelut pendaftaran doktor perubatan yang mendapatkan kelayakan kepakaran melalui laluan paralel sudah siap dan sedang melalui proses semakan Jabatan Peguam Negara (AGC).

Justeru, Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata selepas proses itu selesai, beberapa sesi libat urus diharap dapat diatur sebelum RUU berkenaan dibentangkan pada sesi Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen ke-15 2024 akan datang.

"Saya sangat mengharapkan sejurus itu akan berlaku beberapa libat urus yang akan dibuat, antaranya bersama Majlis Perubatan Malaysia (MMC), Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) Kementerian Pengajian Tinggi dan pihak berkepentingan lain.

"Apabila telah siap semuanya, maka kita akan bentangkan kepada Kabinet sebelum RUU ini dibentangkan di Parlimen pada minggu pertama dan bahas dalam minggu ketiga pada persidangan Jun ini," katanya kepada pemberita hari ini.

Sebelum ini Dzulkefly membentangkan memorandum Jemaah Menteri berkaitan pindaan akta berkenaan kepada Kabinet bersama Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, namun tidak memperincikannya.

Meskipun berdepan tentangan segelintir pihak, KKM kekal dengan pendirian untuk meminda Akta 50 mengenai Program Parallel Pathway (PPP).

Dzulkefly berkata, proses pengiktirafan serta pendaftaran kepakaran laluan paralel membabitkan 14 program di luar negara di samping 29 program Sarjana Perubatan yang dijalankan sembilan universiti tempatan.

"Kesemuanya kita garap sekali setelah kami di KKM berdepan pelbagai dakwa-dakwi tuntutan kontroversi itu akhirnya kita merujuk kepada Jabatan Peguam Negara.

"Ini bagi mendapatkan pandangan perundangan mereka yang memberikan pandangan supaya kita membentangkannya RUU Pindaan Akta Pindaan Akta Perubatan 1971 (Akta 50) dan kami telah siapkan semuanya," katanya.

Terdahulu Dzulkefly merasmikan Klinik Kesihatan (Jenis 3) Air Putih di sini yang disiapkan dengan kos RM30 juta pada 31 Oktober 2023 dan beroperasi sepenuhnya pada Februari lalu.

Klinik baharu ini mampu menampung kapasiti sehingga 500 pesakit sehari, sekali gus menggantikan Klinik Kesihatan Ibu dan Anak Air Putih yang tidak lagi dapat menampung keperluan perkhidmatan kesihatan pada masa ini.

Beliau turut melawat Klinik Kesihatan Bayan Lepas yang menerima kelulusan serta-merta daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada April lalu untuk dibangunkan semula sebagai Klinik Kesihatan (Jenis 2) Bayan Lepas dengan kos RM72 juta.







Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

11-1-2025 12:21 AM GMT+8 , Processed in 0.259965 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list