View: 2927|Reply: 0
|
RCB Atlet ‘ikat’ Hakim Danish, Qabil Irfan
[Copy link]
|
|
HAKIM DANISH (dua dari kanan) dan Qabil Irfan (dua dari kiri) menjadi pelumba pertama berada dalam program RCB Atlet.
KUALA LUMPUR – Bagi meneruskan peranan membantu pelumba muda tempatan memburu kejayaan di persada antarabangsa, kelengkapan motosikal terkemuka tanah air, Racing Boy (RCB) telah mengikat kontrak selama setahun bersama Hakim Danish Ramli dan Qabil Irfan Azlan hari ini.
Dua pelumba negara itu diletakkan dalam program khusus RCB Atlet untuk menerima segala bentuk bantuan peralatan termasuk bantuan dari segi kewangan yang komprehensif sepanjang mereka meneruskan perlumbaan di pentas antarabangsa.
Pengarah Pemasaran Kumpulan MKA, Marcus Leong berkata, program RCB Atlet bertujuan memupuk bakat, menawarkan atlet muda sokongan yang diperlukan serta meringankan beban kewangan mereka.
“Buat masa ini kita telah mengikat kontrak satu tahun dengan Hakim Danish dan Qabil Irfan tetapi kita berharap kerjasama ini dapat berlanjutan sehingga ke pentas MotoGP (Kejuaraan Motosikal Dunia).
“Tetapi seperti semua tahu, kita telah bekerjasama dengan ZK Racing terutama menerusi pembangunan pelumba muda mereka ini sejak 2018. Kali ini kita menaja pelumba mereka menerusi satu program khusus yang dibangunkan oleh RCB sendiri iaitu RCB Atlet.
“Hakim Danish dan Qabil Irfan menjadi pelumba muda pertama dalam program ini. Program ini khusus kepada pelumba yang baru melebarkan bakat mereka di pentas antarabangsa. Berkenaan kriteria untuk berada di program ini masih belum diputuskan dan kita akan umumkan dari semasa ke semasa.
“Kita harap dengan adanya program ini dapat membantu dua pelumba ini mengejar impian mereka hingga mencapai kejayaan dan seterusnya membanggakan nama Malaysia di persada antarabangsa,” katanya.
Tambahnya, RCB mempunyai sejarah terutama menyokong pelumba dan pasukan perlumbaan tempatan Malaysia dan program itu dibina di atas kejayaan tersebut agar dapat memastikan bakat tempatan boleh bersaing di peringkat nasional dan antarabangsa.
Sebagai rekod, Hakim Danish telah menunjukkan peningkatan mengagumkan dan prestasi konsisten dalam sukan permotoran antarabangsa terutama di Kejuaraan Red Bull MotoGP Rookies Cup 2024.
Di Red Bull Rookies, pelumba Terengganu itu berjaya menamatkan saingan tempat kedua di Jerez dan ketiga di Le Mans sekali gus membuktikan Hakim Danish antara bakat yang perlu dibantu.
Qabil Irfan juga pantas mencipta nama dalam arena perlumbaan sukan permotoran selepas mendominasi Siri MiniGP Malaysia FIM dan merangkul gelaran dunia Juara Dunia Siri MiniGP FIM.
Ketika ini, Qabil Irfan sedang bersaing dalam kelas Moto4 di Kejuaraan Superbike Sepanyol (ESBK) 2024. – KOSMO! ONLINE
https://www.kosmo.com.my/2024/06 ... danish-qabil-irfan/ |
|
|
|
|
|
|
| |
|