CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 3819|Reply: 0

[Kedah] Jurutera didakwa minta suapan RM30,000

[Copy link]
Post time 6-6-2024 12:44 PM | Show all posts |Read mode
Jurutera didakwa minta suapan RM30,000


Oleh M Hifzuddin Ikhsan - Jun 6, 2024 @ 12:31pm [email protected]




Jurutera, Syaiful Marzuki Roslan didakwa atas tuduhan rasuah dalam Op Samba 2.0 di Mahkamah Sesyen Alor Setar. - Foto WAN NABIL NASIR





ALOR SETAR: Seorang bekas jurutera konsultan didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas tuduhan meminta suapan RM30,000 daripada sebuah syarikat swasta bagi meluluskan kerja pembangunan semula pusat peranginan di Langkawi pada 2017.

Tertuduh, Syaiful Marzuki Roslan, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Priscilla Hemamalini Nadarajan.

Mengikut kertas pertuduhan, Syaiful yang bertugas sebagai jurutera awam di sebuah syarikat swasta meminta bagi dirinya suapan RM30,000 sebagai balasan kelulusan kemajuan kerja yang dilakukan Seng Heng Piling Engineering bagi pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Kelulusan itu adalah bagi membolehkan bayaran dibuat TNB kepada Seng Heng Piling Engineering bagi kerja pembangunan yang dilaksanakan di tapak projek pusat peranginan berkenaan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Bilik Konsultan, Pejabat Tapak Kembang Serantau di Pantai Tengah, Mukim Padang Matsirat pada 18 April 2017.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun atau denda lima kali ganda suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Rasyidah Murni Adzmi dan Muhammad Taufik Awaludin, manakala tertuduh diwakili peguam, Ahmad Adha Amir Yasser dan Nur Sarah Syamimi Syafie.

Pendakwaan kemudian meminta mahkamah menetapkan jaminan RM50,000 berserta seorang penjamin ke atas tertuduh, namun peguam meminta kadar minimum dikenakan berikutan tertuduh tidak lagi bekerja sebagai jurutera.

Ahmad Adha memaklumkan, anak guamnya itu hanya melakukan kerja sambilan dengan pendapatan kira-kira RM1,500 sebulan dan perlu menanggung isteri, lima anak yang masih bersekolah dan ibu.

Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin dikenakan ke atas tertuduh dan dia perlu menyerahkan pasportnya selain menetapkan 25 Julai sebagai tarikh sebutan semula kes.

Tertuduh kemudian membayar jaminan terbabit di kaunter Kompleks Mahkamah Alor Setar.







Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

11-1-2025 12:28 AM GMT+8 , Processed in 0.037087 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list