SIK: Bunyi dengusan di sebalik peralatan memasak di belakang almari mengundang cemas sebuah keluarga di Kampung Chong, di sini, malam tadi sebaik menyedari kehadiran ular tedung senduk ketika hendak menikmati makan malam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sik, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil berkata, keluarga terbabit kemudian menghubungi pihaknya untuk membantu menangkap ular berkenaan.
Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 10.05 malam dan sepasukan anggotanya yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Sam Khan Prak Prem Keu bersama enam anggota tiba di lokasi kejadian.
"Sebaik tiba di lokasi, reptilia itu didapati masih berada di situ dan anggota kami melakukan operasi dengan berhati-hati kerana ular itu cuba menyembur bisanya. Ular tedung senduk itu juga bertindak agresif ketika anggota kami hendak menangkapnya.
"Bagaimanapun reptilia itu akhirnya berjaya ditangkap menggunakan penjerut yang mengambil masa kira-kira lima minit.
"Reptilia ini bisanya mencari tempat sejuk seperti bilik air, alang rumah, rak dapur, bilik tidur, bawah katil dan bawah kusyen untuk berlindung," katanya ketika dihubungi hari ini.
Zulkhairi berkata, ular tedung senduk sepanjang 1.5 meter itu adalah spesies yang berbahaya dan jika terkena patukannya boleh mengundang maut.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati ketika cuaca panas pada waktu ini kerana ia mengundang kehadiran ular untuk 'menumpang' di rumah penduduk.