CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 8226|Reply: 0

[Kedah] Penduduk lapor SPRM dakwa Tanah Rizab Melayu dipindah milik

[Copy link]
Post time 21-5-2024 06:10 PM | Show all posts |Read mode
Penduduk lapor SPRM dakwa Tanah Rizab Melayu dipindah milik

OlehWAN MOHD NOOR HAFIZ WAN MANSOR

21 Mei 2024 05:36pm








Hishamuddin (empat dari kanan) selepas sidang akhbar di hadapan Pejabat SPRM Kedah pada Selasa.




ALOR SETAR - Sembilan wakil penghuni kediaman lot tanah di mukim Hutan Kampung di sini, tampil membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah berkaitan Tanah Rizab Melayu milik mereka didakwa dipindah milik dan dijual kepada individu dan syarikat bukan Melayu.

Setiausaha Agung Badan bukan kerajaan (NGO), Pertubuhan Kemanusiaan Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya mengesyaki terdapat unsur-unsur yang menyalahi undang undang dalam perkara tersebut.



Menurutnya, hal ini berdasarkan Seksyen 6 Enakmen Tanah Rizab Melayu menyatakan Tanah Rizab Melayu tidak boleh dipindah milik, tidak boleh dipajak, tidak boleh ada permohonan gadaian ataupun tidak boleh digadai kepada bukan Melayu.

"Kita hadir di SPRM Kedah untuk membawa aduan berkaitan dengan sebuah tanah yang telah didiami oleh sembilan penghuni yang merupakan warga emas dan anak cucu mereka yang turut hadir pada hari ini.


"Kita minta SPRM siasat beberapa perkara iaitu bagaimana pindah milik boleh berlaku sedangkan geran asal masih lagi dipegang oleh penduduk kampung ini," katanya pada sidang akhbar, di sini pada Selasa.
Hishamuddin berkata lagi, MHO bersedia untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk penyelesaian kepada permasalahan lot tanah tersebut yang merupakan Tanah Rizab Melayu namun, telah dipindah milik kepada individu dan syarikat yang bukan Melayu.

Menurutnya, NGO berkenaan menyeru pihak kerajaan untuk lebih proaktif berkenaan dengan permasalahan Tanah Rizab Melayu yang seharusnya tanah tersebut dimiliki dan dipindah milik kepada Melayu sahaja mengikut peruntukan Enakmen Simpanan Melayu 1930.

"Para pengadu mengharapkan pembelaan pihak bertanggungjawab supaya tidak berdepan dengan masalah pengusiran dan supaya lot tanah tersebut hanya dimiliki oleh Melayu sahaja," ujar beliau lagi.




Pada 13 Mac lalu, Sinar Harian melaporkan MHO itu memohon ulasan berkenaan Tanah Rizab Melayu kepada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kedah berhubung isu sejumlah Tanah Rizab Melayu yang didakwa dipindah milik dan dijual kepada individu dan syarikat bukan Melayu.

Perkara tersebut susulan aduan sembilan wakil penghuni kediaman lot tanah di mukim Hutan Kampung di sini, yang mendakwa tanah didiami mereka telah dipindah milik dan dijual kepada sebuah syarikat.

Menurut Hishamuddin, lot tanah itu menjadi pertikaian kerana sebahagiannya adalah Tanah Rizab Melayu di Kedah.

"Apa yang membingungkan apabila lot tanah ini secara terang-terangan telah dipindah milik dari seorang bukan Melayu kepada individu lain yang juga bukan Melayu," katanya.

Difahamkan, tanah seluas kira-kira 0.6 hektar itu asalnya dibeli datuk mereka sekitar 1920-an melalui satu perjanjian yang disahkan kerajaan negeri, namun urusan tukar milik tidak dapat dilakukan kerana pemiliknya gagal dikesan.

Tapak tanah berstatus Tanah Rizab Melayu itu kini mempunyai dua kedai makanan, bengkel kenderaan dan sembilan rumah yang yang didiami ahli keluarga antara generasi ketiga hingga keenam.

Pada bulan Mac 2014, syarikat tersebut telah mendapatkan satu perintah dari mahkamah untuk merobohkan kediaman yang telah dibina dan keluar dari lot tanah tersebut.

Walau bagaimanapun, semakan penduduk mendapati perintah tersebut tidak berada di dalam rekod dan tiada perintah seumpama itu dikeluarkan oleh mahkamah.



Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

27-6-2024 04:56 AM GMT+8 , Processed in 0.111727 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list