Georgetown: Persatuan Pengguna Pulau Pinang menggesa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan PDRM segera menangani isu pemandu yang tidak mengendahkan undang-undang tempat letak kenderaan.
Presidennya Mohideen Abdul Kader berkata, kesalahan itu termasuk meletak kenderaan di zon larangan letak kereta dan lokasi sembarangan.
Katanya, tinjauan CAP di sekitar bahagian pulau terutama Jalan Utama, Jalan Residensi, Jalan Logan, Jalan Penang, Jalan Pasar, Lebuh Penang, Lebuh Pantai dan beberapa kawasan di Air Itam di sini, mendapati perbuatan itu sukar dikawal.
"Ia sekali gus menimbulkan bahaya dan kesulitan terhadap orang ramai.
"Situasi ini sudah meningkat ke tahap kronik terutama di Jalan Residensi berhampiran Hospital Pulau Pinang (HPP).
"Kereta sering diletakkan di sepanjang jalan berkenaan walaupun terdapat garisan kuning berkembar," katanya dalam kenyataan media di sini, tadi.
Mengulas lanjut Mohideen berkata, CAP juga mengenal pasti beberapa tempat letak kereta awam yang mana tong besar, kerusi plastik, pasu bunga atau barangan lain menghalang petak parkir.
Selain itu Mohideen berkata, 'pencerobohan' kenderaan di kaki lima dan perhentian bas memburukkan lagi masalah kesesakan yang sudah berleluasa di jalan raya negeri ini sehingga mengundang masalah tidak wajar kepada pengguna.
"Kekurangan parkir kebanyakannya di Georgetown, menyebabkan kewujudan tempat letak kereta haram dan kesesakan lalu lintas di kawasan berkenaan.
"Sehubungan itu, CAP mencadangkan supaya masa parkir di tempat letak kereta awam dihadkan supaya mereka yang menggunakan ruang sepanjang hari dihalang daripada berbuat demikian," katanya lagi.
Menurut Mohideen, CAP menggesa supaya MBPP dan pihak berkaitan supaya mempergiat lagi usaha penguatkuasaan dan pengambilan tindakan tegas terhadap pemandu yang melanggar peraturan parkir atau meletak kenderaan sembarangan.
"Langkah segera dan tegas adalah penting dalam memastikan keselamatan dan kemudahan semua pengguna jalan raya di Pulau Pinang," katanya.