SIK: Penghuni sebuah rumah di Kampung Betong, Jeneri, di sini, dikejutkan dengan kehadiran seekor ular tedung selar sedang 'berehat' di atas alang kayu kediaman mereka, malam tadi.
Bimbang kehadiran reptilia paling berbisa itu, mereka kemudian menghubungi Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sik untuk bantuan.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sik, Leftenan (PA) Haisul Aishah Mohd Napiah, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 10.22 malam sebelum menghantar sepasukan anggota ke lokasi.
"Tiba di lokasi, anggota kami mendapati ular tedung selar sepanjang lebih empat meter masih berada di atas alang kayu rumah berkenaan. Anggota APM Sik mengambil masa kira-kira 10 minit untuk menangkap replitia berkenaan.
"Operasi perlu dilakukan dengan berhati-hati dan akhirnya ular itu berjaya ditangkap dengan menggunakan penjerut walaupun berada di sudut yang sukar," katanya ketika dihubungi hari ini.
Haisul Aishah berkata, tedung selar terkenal dengan jolokan 'King Cobra' seberat lapan kilogram (kg) itu kemudian dibawa ke Pusat Kawalan Operasi APM Daerah Sik sebelum diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) daerah.
Beliau menasihatkan orang awam supaya sentiasa terus peka dan berwaspada berikutan cuaca panas ketika ini mengundang kehadiran ular, termasuk spesies berbisa untuk berteduh di kediaman penduduk terutama kawasan bilik air.
Orang ramai boleh menghubungi APM Sik di talian 04-469 8221 sekiranya terdapat sebarang kes kecemasan di daerah ini.