LANGKAWI: Seorang lelaki warga Palestin didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas tuduhan mencederakan rakan senegaranya hingga parah dalam kejadian bulan lalu.
Tertuduh Mustafa F M Alabed Sadeya, 22, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nurul Natasha Rizal.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah ke atas Izzeddin A Z Alqassass menggunakan pisau di Jalan Teluk Baru, Pantai Tengah, kira-kira jam 5 petang pada 29 Mac lalu.
Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 335 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum empat tahun atau denda maksimum RM4,000 atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Farhan Aliff Ahmad, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM4,000 terhadap tertuduh dan kes disebut semula 19 Mei depan.